PARIT: Musang Berjanggut, mendengar istilah ini pasti ramai yang terkenang filem zaman 1950an yang dibintangi oleh seniman tanah air, Allahyarham P Ramlee.
Ingatkah anda mengenai cabaran yang diberikan Tok Janggut untuk mencari bakal isterinya iaitu mengasingkan bahan-bahan makanan untuk dimasak?
Adegan itu dihidupkan semula dengan sebuah permainan tradisi yang turut dikenali sebagai "Musang Berjanggut" baru-baru ini oleh beberapa wanita dalam sebuah program komuniti di Bota Kiri, di sini.
Pemaju Tabika KEMAS Taman Indera Barat, Jariah Yahya berkata, kali terakhir beliau berpeluang bermain permainan itu adalah ketika masih berada di bangku sekolah.
"Nampak saja mudah, tetapi cabarannya adalah kami akan diberikan satu uncang berisi beras, bawang merah kecil, kacang hijau, kacang tanah, bunga cengkih, cabai kering dan kacang parpu.
"Kemudian, kami akan mengasingkannya dan mengikut bahan yang perlu disediakan dalam talam, siapa siap dahulu dikira pemenang," katanya kepada Suara Perak.
Shaidatul ditemui ketika menyertai program Pelancaran Komuniti 1 Malaysia Bota Kiri di perkarangan Masjid Ar-Rahmah Kg Ekor Bota, Bota, di sini pada Rabu.
Katanya, keunikan permainan yang mula popular seawal tahun 70 an itu adalah ketelitian dan kesabaran pemainnya untuk memilih dan menentukan setiap jenis bahan berlainan yang bercampur di dalam uncang tersebut.
"Sebenarnya, permainan ini memang mengundang rasa nostalgia kami yang masih menontom filem-filem lama bersama keluarga ketika kami membesar.
"Simbolik dan pengajarannya, setiap kali kami bermain Musang Berjanggut kami akan terfikir orang dulu-dulu akalnya panjang, satu lagi, susah juga nak cari calon isteri yang baik,bukan," ujarnya berseloroh.
Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Zaim Abu Hassan ketika ditemui berkata, permainan tersebut merupakan salah satu acara sempena penutup sambutan kemerdekaan di daerah tersebut.
Tambahnya, walaupun disambut agak lewat oleh warga daerah tersebut, namun kemeriahannya jelas menampakkan semangat kebangsaan yang kuat di antara masyarakat setempat.
"Mungkin ramai tidak menyedari fungsi sebenar Komuniti 1 Malaysia ini, namun sambutan hangat serta suasana yang cukup meriah dalam program ini jelas menunjukkan ianya masih ada nilai kekitaan yang teguh di dalam setiap diri kita, baik yang tua mahupun muda.
"Kalau kita lihat kepada pengisian program yang ada pada hari ini, ia nampak mudah tetapi sebenarnya merupakan titian sejarah yang mengajak kita menghargai permainan tradisional sewaktu zaman nenek moyang kita, Musang Berjanggut, adalah antara contohnya, saya yakin ramai yang tak tahu," katanya
selepas merasmikan program itu.
Beliau berharap penubuhan K1M Bota Kiri itu dapat mempelbagaikan aktiviti kemasyarakatan serta penyaluran maklumat dari agensi kerajaan khusus bagi rakyat yang tinggal di luar bandar.
Mohd Zaim yakin pendekatani aktiviti serba ringkas yang bersifat mesra serta program berbentuk komuniti merupakan kaedah paling efektif untuk mengumpulkan semula nilai muafakat dalam setiap ahli masyarakat.
"Tak perlu program besar-besaran pun tak mengapa, paling penting adalah usaha dan inisiatif mereka yang datang dan memberikan yang terbaik dalam memasak, menunjukkan bakat mewarna dan mempamerkan hiasan masing-masing di basikal, ringkas namun penuh bermakna,"ujarnya lagi.
Sementara itu, Pegawai Penerangan Daerah Perak Tengah, Khairul Ferdaus Mat Jilid berkata, antara program yang menjadi tarikan ramai adalah seperti pertandingan basikal berhias Jalur Gemilang dan pertandingan mewarna yang disertai lebih 110 kanak-kanak.
"Sebanyak 10 tabika KEMAS dari seluruh Mukim Bota menyertai pertandingan mewarna itu dan memang teruja kanak-kanak cilik itu menyertainya.
"Selain itu, kami juga mengadakan pertandingan memasak Asam Pedas Tradisi serta Sukaneka Rakyat," ujarnya.
Khairul berkata, sehingga hari ini terdapat 12 buah K1M di sekitar daerah Perak Tengah di bawah seliaan Pejabat Penerangan Daerah Perak Tengah.