top of page
muinsapidin

Tinggalkan Kerjaya Popular, Usahakan Tanah ‘Emas’

BERPAKAIAN segak bertali leher, duduk di pejabat berhawa dingin - petanda seseorang itu adalah seorang yang bekerjaya dan berpendapatan lumayan.

Itu tanggapan atau stigma yang masih melekat dalam pemikiran masyarakat sehingga hari ini.

Ramai berpandangan, kerjaya luar pejabat termasuk bidang pertanian adalah pekerjaan kelas kedua dan sering dikaitkan dengan ungkapan ‘low class’, leceh dan meletihkan.

Namun, dua anak muda ini berfikiran sebaliknya. Percaya atau tidak, mereka meninggalkan kerjaya popular bergaji puluhan ribu dan kerusi empuk di pejabat demi menceburi bidang pertanian dengan menanam sayur.

Seorang daripadanya pernah memiliki pekerjaan sebagai jurutera dengan gaji mencecah RM 30,000 manakala seorang lagi sudah selesa menjadi tenaga pengajar di sebuah universiti tempatan.

“Saya tidak pernah menyesal berhenti kerja dalam bidang pengerudian minyak walaupun ramai yang menganggap bidang pertanian tidak boleh menjamin pendapatan lumayan. Bagi saya kalau diusahakan dengan betul ia ibarat ‘tanah emas’,” ujar Mohamad Firdaus Wahab,34, yang pernah bekerja di sektor pengerudian minyak di syarikat antarabangsa.

Firdaus merupakan salah seorang peserta di bawah program Ladang Belia Lekir di Kampung Batu 10, Lekir, Lumut yang menggunakan konsep mentor-menti bertujuan melahirkan lebih ramai belia dalam bidang pertanian.

Projek itu dilaksanakan Perbadanan Pertanian Negeri Perak (PPNPk) dengan melibatkan tanah berkeluasan 60.7 hektar sementara setiap peserta diberi latihan selama dua tahun bersama mentor yang terlibat.

Bergelumang Dengan Tanah, Bermandikan Terik Mentari

“Sebenarnya pekerjaan sebagai petani sangat popular di negara luar, tapi bukan di Malaysia. Di Jepun umpamanya kebanyakan penduduk mereka menjadi petani dan mereka bangga dengan bidang kerja itu.

“Tak dinafikan tanggapan segelintir anak-anak muda di negara kita yang mahu kerja selesa, di pejabat-pejabat dan tidak mahu bergelumang dengan tanah atau kotor. Itu biasa, tapi mereka tidak tahu pulangan yang bakal mereka dapat di kemudian hari,” jelas Firdaus yang berasal dari Kampung Dato’ Seri Kamaruddin, Seri Manjung.

Menurut Firdaus, potensi cerah menerusi pertanian yang membuatkannya tidak menoleh ke belakang untuk berhenti kerja dan merebut peluang mengusahakan tanah seluas lima ekar.

“Pengalaman kerja saya dulu sudah membawa saya ke merata ceruk dan hampir 40 buah negara, sehinggalah waktu saya mengerjakan Haji dahulu dan saya tekad untuk berhenti dan ceburi bidang ini.

“Alhamdulillah keluarga dan isteri menyokong, bagi saya semua orang boleh jadi petani yang penting jangan malas dan disiplin kena jaga. InsyaAllah kerja keras kita akan berbuah bila tiba masanya.

“Ramai juga yang tanya pada saya, kenapa sanggup tinggalkan kerja yang bergaji RM 30,000 sebulan untuk jadi petani yang pada mulanya cuma diberi elaun RM 1,100 sebulan. Jawapannya mudah kerana saya melihat industri makanan ini berterusan walau apa pun situasi melanda.

“Selain itu, mengapa tidak kita ambil peluang yang kerajaan beri, tanah sudah disediakan, mentor pun ada yang tinggal hanyalah sama ada anda mahu bekerja keras atau tidak. Bukankah pertanian itu adalah perniagaan,” kata Firdaus.

Kepuasan Terbit Lihat Tanaman Membesar

Jelas anak ketujuh daripada lapan beradik ini, tidak ada yang lebih menggembirakan hati selain melihat tanaman yang diusahakan berbuah dan membesar depan mata.

“Tanyalah sesiapa pun yang bercucuk tanam, soal untung atau duit saya letak nombor dua sebab kepuasan sebenar bagi saya bila tengok sayuar-sayuran dan buah membesar.

“Setakat ini kami sudah tanaman seperti peria, timun, terung dan tidak lama lagi labu kuning. Dari segi pasaran alhamdulillah berjalan lancar.

“Dari segi cabaran pula semestinya faktor cuaca dan struktur tanah. Kami mula kerja jam 7 pagi hingga 6 petang. Mental dan fizikal kena kuat,” katanya.

Mula-Mula Hanya Mencuba, Lama-Lama Jatuh Cinta

Berlainan pula kisah seorang lagi peserta ladang ini, Mohamad Amirul Junaidi, 28, dari Kampung Sungai Tiram, Lekir.

Dia pernah menyandang jawatan sebagai penolong pensyarah di UniKL MIMET, Lumut hampir dua tahun sebelum membuat keputusan menjadi peserta Ladang Belia Lekir sepenuh masa.

“Saya tak sangka akan terlibat dalam program ini dan jadi petani, mula-mula saya cuma mahu cari satu bisnes berasaskan makanan disebabkan ia stabil.

“Kemudian saya dapat tahu pasal program ini melalui kawan-kawan dan mula cuba, lama-kelamaan rasa minat pula dan berterusan sampailah sekarang,” ujar Amirul yang kini sedang memulakan tanaman labu kuning.

Faktor ‘Jaminan’ Dan Kurang Popular Jadi Kekangan

Amirul berpendapat segelintir anak-anak muda kurang berminat menjurus ke bidang pertanian disebabkan rasa ‘tidak selamat’ dengan faktor pendapatan setiap bulan selain tugas kerja yang membebankan.

“Ramai graduan yang sudah tamat belajar Ijazah atau Diploma memilih untuk terus bekerja di syarikat-syarikat besar sebab mereka rasa lebih ‘selamat’ ada gaji tetap bulanan.

“Itu yang buatkan ramai di antara belia sekarang tidak mahu bekerja di sektor ini mungkin juga ada yang anggap ianya ‘low class, tidak seperti pekerjaan lain. Sepatutnya tanggapan sebegitu kita perlu kikis,” kata Amirul.

Pengurusan Penting Elak Kecundang

“Saya sarankan supaya anda cuba dulu bertanam, peringkat permulaan tak perlu tanah yang luas cukup sekadar di belakang rumah. Bila sudah mula bertanam barulah anda boleh merasai sendiri kepuasannya.

“Nasihat saya bagi sesiapa yang mahu ceburi bidang ini, mental dan fizikal kena betul-betul kuat. Strategi kena susun betul-betul sebab kalau anda tidak dapat latihan yang sebetulnya memang mudah gagal,” katanya.

Jelas Amirul, dia sudah tekad untuk menjadi peraih suatu hari nanti bagi membantu komuniti kebun di kawasan berkenaan, selain memasarkan produk tanaman ke tempat lain.

Cabaran Besar, Pulangan Tinggi

Sementara itu menurut Mentor Projek Ladang Belia Lekir, Zamberi Ramli, setakat ini seramai 20 peserta daripada pelbagai latar belakang pendidikan menyertai program itu sejak Ogos 2015.

Mereka turut memulakan tanaman sayuran seperti terung, labu, cili, dan peria mengikut pusingan dan hasilnya akan dipasarkan kepada ejen yang bertanggungjawab.

“Daripada 70 peserta yang mendaftar, sekarang hanya 20 peserta yang masih kekal. Bagi yang sudah usahakan lot tanaman pula tiga orang, PPNPk sudah sediakan tapak dan modal dalam bentuk pinjaman mudah untuk mereka yang terlibat.

“Tidak dinafikan cabaran bertani memang banyak, dengan cuaca dan musuh serangga. Sebab itu kita latih dan ajar peserta sehingga mereka betul-betul bersedia untuk berdiri sendiri. Selain melatih mereka untuk tidak mudah patah semangat.

“Sebagai contoh tahun 2015 dan 2016 cuaca kemarau, bila kemarau banyak serangga pengorek buah yang ancam tanaman. Kita kena sama-sama fikir idea untuk atasi masalah ini.

Itulah pentingnya semangat kerjasama di antara peserta,” kata Zamberi semasa ditemui.


150 views0 comments
bottom of page