IPOH: Seramai 222 graduan Taj Internasional College (TIC) yang menamatkan pengajian mereka pada peringkat sijik dan diploma, diraikan dalam majlis konvokesyen kali ke-6 kolej itu di Pusat Konvensyen Amanjaya Hotel Casuarina@Meru di sini baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif TIC, Tina Tajuddin berkata, majlis itu juga turut disertai oleh beberapa Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang bekerjasama dengan TIC seperti UiTM, UTM, UPM, UUM dan UNIMAS.
Menurut beliau, kelangsungan penglibatan universiti awam kali ini adalah bertujuan bagi program kerjasama antara TIC dan IPTA untuk membantu meningkatkan kualiti pendidikan negara.
Sempena majlis itu, beliau turut mengumumkan TIC akan bekerjasama dengan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) bagi menaiktaraf pendidikan dikalangan anak-anak peladang di bawah NAFAS.
“Majlis konvokesyen yang berlangsung ini juga akan menjadi platform kepada usaha untuk menarik penglibatan masyarakat, pemimpin setempat, guru dan pelajar untuk bersama-sama berusaha mencapai kecemerlangan,” katanya ketika berucap di majlis tersebut.
Penyampaian sijil dan diploma disempurnakan pengasas TIC, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.
Pada majlis itu, TIC juga cek berjumlah RM1.5 juta kepada pihak NAFAS sebagai tanda usaha kerjasama di antara kedua dua belah pihak dalam menerajui bidang pendidikan di negara ini.
Turut hadir bagi memeriahkan majlis ialah graduan yang dibawakan khas hasil didikan program Fast Track Housewife to CEO dan juga Fast Track Beauty yang diterajui oleh Tina sendiri.
Program itu telah membuktikan bahawa golongan suri rumah juga mampu menjadi seorang usahawan yang berjaya jika diberi peluang dan bimbingan yang betul.
Dengan modul-modul pembelajaran yang sesuai dan mudah diaplikasikan dalam dunia perniagaan dan kehidupan seharian, golongan itu akhirnya berjaya memiliki perniagaan masing-masing yang mampu memberi pulangan pendapatan bulanan yang lumayan.