KAMPUNG GAJAH: Bermula daripada hobi memelihara ikan hiasan, akhirnya memberi pulangan ratusan ribu ringgit kepada usahawan muda, Shaharizad Shahrul, yang menjalankan peniagaan ikan kelisa (arowana) dan pari air tawar.
Menurut Shaharizal, 34, yang lebih mesra dengan panggilan Ijat, dia mula memelihara kira-kira 100 ekor ikan kelisa di rumahnya di Seri Iskandar mulai tahun 2006.
Bagaimanapun, kata usahawan muda itu, apabila menyedari permintaan terhadap ikan hiasan itu sangat tinggi, khususnya daripada negara China, beliau dan bapanya berkongsi membeli benih ikan kelisa yang berumur tiga bulan.
“Selepas anak-anak ikan itu berumur setahun, kami mengeksport ke negara China kerana permintaan yang tinggi di negara tersebut,” katanya ketika ditemui di Na Na Farm Agrotech miliknya di Kampung Pulau Tiga dekat sini.
Ijat, lulusan Diploma Ukur Bahan daripada Politeknik Kok Lanas mengakui, ketika itu harga seekor ikan kelisa yang dieksport lebih RM1,000 dan purata hasil jualan bulanannya sekitar RM200,000.
Hasil kejayaan itu, pada tahun 2010, beliau melihat permintaan terhadap ikan pari air tawar untuk hiasan sangat tinggi di negara China kerana mereka percaya ikan berkenaan ada `ong’ (tuah).
“Pada 2010, saya mula mengimport pari air tawar daripada China untuk dibiakkan di sini sebelumnya mengeksport semula ke negara tersebut,” katanya sambil mengakui, sebelum kejatuhan harga ikan hiasan itu, harganya mencecah sehingga RM7,000 seekor.
Menjadi lumrah di dalam perniagaan, ada pasang surutnya, begitulah juga dengan sektor ikan hiasan yang akhirnya merosot pada 2012.
Ketika itu, Ijat kembali kepada bidang asalnya, pembinaan, yang telah diceburinya sebaik sahaja menamatkan pengajiannya pada tahun 2004.
Menyedari 9/10 daripada rezeki adalah dalam perniagaan, pada 2014, anak muda ini bersama-sama bapanya membuat pelaburan di dalam sebuah restoran makanan Thailand yang terletak di Seri Kembangan, Kuala Lumpur.
Tidak cukup dengan itu, ditambah kerana ingin bersama-sama menyumbang kepada pembangunan di kampung halamannya sendiri, beliau membuka sebuah restoran ala kopitiam di No. 1, Kedai Desa, Kampung Gajah pada awal 2015.
Ketika perniagaannya itu masih mendapat sambutan, beliau merasakan ada sesuatu yang kurang, tambahan pula citarasa masyarakat setempat yang masih belum biasa dengan konsep restoran ala kopitiam.
Akhirnya, Ijat dan bapanya mengambil keputusan untuk mengubah konsep restorannya kepada ala Thai tetapi menggunakan bahan mentah tempatan, dari Kampung Gajah sendiri.
Selepas Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini, Al-Falah Kopitom dibuka dengan memberi tumpuan kepada udang galah dan ternakan dari Na Na Farm, seperti ayam kampung, ayam belanda dan burung api-api.
“Kami sediakan pelbagai menu istimewa daripada udang galah dari Kota Setia di sini, ayam kampung, ayam belanda dan burung api-api yang kami pelihara sendiri di ladang,” ujarnya.
Menurut Ijat, disebabkan hobinya, dia memelihara ternakan itu di ladangnya, sekaligus dapat menawarkan harga yang jauh lebih rendah, berbanding dengan restoran lain.
Beliau memberi contoh, lazimnya harga ayam kampung mencecah sehingga RM15 sekilo tetapi hasil ladangnya itu ditolak ke restoran Al-Falah hanya pada harga RM10 sekilogram.
“Harga yang ditawarkan di restoran kami memang sesuai untuk taraf hidup di sini, itu sebab tagline kami ialah `Kedai Macam Kondo, Harga Macam Warong,” tambahnya.
Walaupun mengakui pelaburan RM230,000 untuk kedainya itu mungkin lambat mendapatkan semula modalnya, Ijat berkata, itulah antara pengorbanan kecil yang mampu dilakukannya untuk bersama-sama membantu kampung halamannya.
Pun begitu, anak muda ini bersyukur kerana restorannya mula mendapat sambutan daripada pelanggan Cina dan India, lebih-lebih lagi dengan menu istimewanya, yang sukar diperolehi di restoran-restoran lain.
Restoran Al-Falah Kopitom dibuka setiap hari mulai jam 1 tengahari - 1 pagi manakala hari Jumaat dari 4 petang – 1 pagi. Sebarang tempahan boleh menghubungi 05-6313539 atau 019-5553109 (Ijat).
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Kampung Gajah, Abdullah Fauzi Ahmad Razali mengucapkan syabas kepada Ijat kerana usahanya menceburi bidang lain daripada kelulusannya.
Menurut beliau, sebenarnya banyak lagi peluang yang boleh diceburi oleh anak-anak muda di Kampung Gajah, khususnya di dalam sektor pertanian, penternakan dan perikanan.