top of page
  • muinsapidin

PPN Perak Mengorak Langkah Bantu Petani

IPOH: Sebagai sebuah pertubuhan perniagaan yang berasaskan perladangan dan pertanian, Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak sentiasa komited untuk membantu membela nasib petani di negeri ini.

Mereka bukan sahaja memberi tumpuan kepada aktiviti tradisional seperti mengusahakan ladang untuk memberi dividen kepada pemegang saham, malah mengorak langkah lebih jauh dengan dibantu oleh inovasi dan kreativiti.

Gambar Hiasan

PPN Perak turut memikirkan soal penanam kelapa sawit, pesawah padi, malah pelbagai hasil pertanian lain.

Menurut Pengerusi PPN Perak, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar, buat masa ini, pihaknya menguruskan kira-kira 3,156.5 hektar (7,800 ekar) ladang kelapa sawit di seluruh negeri.

Bagaimanapun, kata beliau, hanya 404.6 hektar (1,000 ekar) sahaja milik PPN manakala bakinya dimiliki oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang mana Perak sahaja mempunyai 30 buah PPK.

PPN juga masih mengharapkan kelulusan kerajaan negeri untuk meluluskan kawasan seluas 607 hektar (1,500 ekar) di Hulu Perak bagi terus membantu ahli-ahli PPK di kawasan tersebut.

Dalam masa sama, mereka juga terus mencari jalan untuk menyelesaikan masalah kawasan ladang tiga PPK iaitu Padang Rengas, Batu Kurau dan Selama yang masing belum boleh dimajukan kerana keadaan yang berbukit bukau.

Hasil kerjasama dan usaha semua pihak, tahun lalu sahaja PPN Perak berjaya mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM5 juta di samping RM1.9 juta sehingga Jun tahun ini.

Bak kata pepatah, hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicicah, semua 30 PPK masing-masing menerima agihan RM35,000 bagi menjalankan aktiviti masing-masing, khususnya untuk ahli-ahli.

Tidak mudah berpuas hati dengan keuntungan yang diperolehi, PPN Perak mengorak langkah membina sebuah kilang sawit di Beruas yang melibatkan pelaburan RM50 juta, dijangka mula beroperasi tahun depan.

Semoga dengan kewujudan kilang itu kelak, akan memberi masa hadapan yang lebih baik, bukan sahaja kepada ahli-ahli pertubuhan peladang, malah tempiasnya juga turut dinikmati peladang secara kecil-kecilan.

PPN Perak sebenarnya bukan sahaja terlibat dengan perladangan kelapa sawit, malah mereka juga terpanggil untuk sama terlibat dengan penanaman padi.

Menurut Raja Ahmad Zainuddin, Perak mempunyai kawasan tanaman padi seluas 39,000 hektar dan daripada jumlah itu 18,000 hektar terletak di Sungai Manik, manakala 21,000 hektar di Kerian.

Lebih menguatkan azam mereka untuk membantu ialah bagi membela nasib hampir tiga perempat penduduk di daerah Kerian bergantung hidup yang bergantung hidup dengan penanaman padi.

Fenomena El-Nino baru-baru ini yang menyebabkan banyak kawasan padi terjejas begitu dekat dengan PPN Perak, lantas mereka meminta kerajaan negeri mewujudkan sebuah kolam takungan baharu bagi memastikan petani di daerah Kerian tidak bergantung kepada kolam takungan Bukit Merah. Raja Ahmad Zainuddin berkata, langkah itu perlu untuk mengelak tanaman padi di kawasan berkenaan yang merupakan Jelapang Padi di Perak terjejas, terutama pada musim kemarau. Beliau mencadangkan kolam takungan Bukit Merah diasingkan bagi kegunaan air minuman dan bekalan air ke sawah bagi mengelak masalah jika ada bencana seperti fenomena El Nino.

Sebagai bukti keprihatinan mereka terhadap masa depan golongan pesawah padi, PPN Perak juga bercadang untuk membina kilang padi bagi membantu mengurangkan masalah pesawah seperti pemotongan dan lambakan padi.

Selain bidang pertanian, PPN Perak turut melihat potensi inovasi dalam pelbagai hasil pertanian, misalnya buluh serta buah-buahan tempatan yang boleh membantu menjana pendapatan penduduk luar bandar.


63 views0 comments
bottom of page