top of page
muinsapidin

Latihan Kosmetologi Untuk Anak Perak Di Euphoria Academy

IPOH: Euphoria Academy merintis langkah untuk melatih kemahiran secara professonal dalam pelbagai bidang kosmetologi kepada semua belia di negeri Perak seawal umur 16 tahun.

Pengarah Urusannya, Ena Farizan Roshidi berkata, akademi itu memfokuskan kepada pensijilan kemahiran untuk mereka yang berminat dalam bidang dandanan dan solekan dengan yuran berpatutan serta latihan oleh pensyarah bertauliah.

Menurut beliau, akademi yang diasaskan oleh bekas Datuk Bandar, Datuk Roshidi Hashim itu baru sahaja beroperasi Jun lepas untuk memberi yang terbaik kepada anak-anak Perak.

"Akademi ini merupakan satu landasan bagi mereka yang berminat mendapatkan latihan kemahiran yang diiktiraf dan akreditasi oleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) sehingga Tahap 3 dan ini merupakan tiket mereka untuk menjana pendapatan di samping membuka bisnes sendiri.

"Selain itu, kami juga akan bekerjasama dengan pelbagai agensi, institut pengajian serta sekolah kemahiran untuk menyalurkan menempatkan penuntut yang ingin menjalani latihan praktikal di sini ,” katanya kepada Suara Perak dalam sidang media di Euphoria Academy, di sini pada malam Khamis.

Ena berkata, antara keistimewaan akademi itu ialah tumpuannya bukan sahaja terhad kepada mereka yang berminat untuk mendapatkan kemahiran tetapi juga kepada objektif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

Jelasnya, adalah menjadi hasrat utama akademi itu untuk membantu menjana pendapatan di kalangan ibu tunggal serta pengupayaan bersepadu bagi belia-belia di negeri Perak.

"Ini adalah matlamat sebenar Euphoria Academy, kita ingin membantu kerajaan negeri merealisasikan impian Perak Amanjaya, memastikan tiada golongan yang terpinggir dengan membekalkan kemahiran kepada semua lapisan umur, termasuk wanita tidak berkerjaya dan belia yang lebih meminati bidang kemahiran berbanding akademik.

"Jangka masa pembelajaran di akademi ini juga tidaklah begitu panjang seperti ijazah, sarjana dan sebagainya, malah masa depan mereka terjamin dengan pensijilan daripada SKM untuk bersaing di pasaran kerja yang mencabar pada hari ini," katanya lagi.

Menurutnya, buat masa ini pihaknya telah bekerjasama dengan Yayasan Bina Upaya (YBU) untuk memilih dua individu daripada keluarga miskin mendapatkan latihan secara percuma di akademi berkenaan agar mereka boleh menjana pendapatan keluarga.

Ena berkata, latihan kemahiran yang pelbagai seperti solekan, dandanan rambut, aromaterapi di akademi tersebut akan membolehkan pelajar mendapat latihan mengenai suasana kerja sebenar dan mencetuskan minat mereka untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.

Tambahnya, antara kelainan dalam akademi tersebut adalah Hari Muslimah yang jatuh pada setiap Isnin khusus untuk kesemua muslimah mendapatkan dandanan rambut secara tertutup dan professional.

Bagi Sharifah Aziera Syed Ahmad, 19, keputusan untuk melanjutkan pengajiannya dalam bidang dandanan dan solekan merupakan satu pilihan tepat berikutan pasaran kerja yang semakin mengutamakan bidang kemahiran pada hari ini.

"Tidak dinafikan pada mulanya memang saya berasa sangsi kerana semua kawan sekolah memilih untuk meneruskan dalam bidang akademik, tetapi saya ambil cabaran ini kerana saya yakin satu hari nanti saya mampu untuk bergerak sendiri.

"Malah, adalah menjadi impian saya untuk membuka bisnes sendiri di samping mendapatkan pentauliahan dan pensijilan dalam tempoh masa yang tidak begitu lama," katanya.


59 views0 comments
bottom of page