top of page
muinsapidin

Trio Barcelona singkirkan Arsenal

PEMAIN trio Barcelona, Neymar, Luis Suarez dan Messi beraksi cemerlang apabila masing-masing berjaya menjaringkan satu gol bagi menundukkan Arsenal 3-1 sekali gus layak ke peringkat suku akhir dengan kemenangan 5-1 secara agregat dalam pertemuan Liga Juara-juara yang berlangsung awal pagi tadi.

Pemain Brazil, Neymar Jr membuka gol pendahuluan menerusi jaringan pada minit ke-18 separuh masa pertama di mana menyaksikan tuan rumah, Barcelona mendominasi perlawanan sebelum berakhirnya babak pertama.

Namun begitu, anak buah Arsene Wenger mula bangkit pada separuh masa kedua dan hasilnya, Mohamed Elneny berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-51.

Suarez bagaimanapun berjaya meletakkan Barcelona di hadapan semula setelah berjaya menjaringkan gol menerusi hantaran silang yang dilepaskan ke arah kiri gawang gol sekali gus menewaskan penjaga gol Arsenal, David Ospina.

Arsenal semakin tertekan apabila penyerang sensasi, Messi menjaringkan gol ketiga Barcelona pada minit ke-88 sebelum berakhirnya babak kedua perlawanan.

“Kami tahu yang Barcelona perlu menyerang dan bertahan secara seimbang sekiranya ingin menang,” kata jurulatih The Catalan, Luis Enrique seperti dipetik Reuters.

Kekalahan itu sememangnya menambahkan lagi tekanan buat Wenger yang kini berada 11 mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris(EPL), Leicester City serta turut tersingkir dalam perlawanan FA Cup pada minggu lalu.

“Kami mempunyai peluang tapi kami tidak mampu menewaskan mereka. Namun kami turut mengucapkan tahniah buat Barcelona kerana mereka mempunyai beberapa pemain yang mampu mengubah kehidupan biasa untuk menjadi satu seni.,” kata Wenger.


24 views0 comments
bottom of page