Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Ungkapan itulah menjadi prinsip dan pegangan hidup buat Mohd Jamil Ahmad, 55, pengusaha sangkar ikan yang memilih untuk menjadi peniaga ikan sungai di Perak. Menurutnya, Perak diberkati dengan aliran sungai yang bukan sahaja menyimpan seribu satu hikayat tetapi juga rezeki melimpah ruah bagi mereka yang ikhlas mencarinya. Pelbagai jenis ikan boleh diternak di sepanjang Sungai Perak, antara yang menjadi kegemarannya adalah ikan patin yang mendapat sambutan hangat masyarakat dari dalam dan luar negeri ini.
Bapa kepada empat orang anak itu berkata, dia mula berkecimpung dalam bidang penternakan ikan sangkar sejak awal tahun 2014 secara kecil-kecilan, namun lama-kelamaan dia menyedari faedah sebenar bidang tersebut. "Sebagai bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selama 22 tahun, saya telah sebati dengan air dan kelebihan inilah saya gunakan untuk memulakan perniagaan ikan dalam sangkar,” katanya kepada Suara Perak. Jamil menternak pelbagai jenis ikan yang menjadi pilihan penggemar masakan hasil sungai, antaranya baung, tilapia, keli, temoli dan lampan. "Bagi Patin pula, dia agak istimewa kerana terdapat empat jenis kesemuanya - patin buah, tinggi, biasa dan yang paling mahal dan sedap ialah patin emas, seekor benih anak ikan patin emas mencecah RM2 ," katanya menerangkan mengenai jenis ikan yang mendiami sungai di negeri Perak. Menurutnya, ikan temoli kebiasaannya mendapat permintaan tinggi, namun sukar didapati disebabkan pembiakannya bermusim dan kaedah penjagaannya yang agak cerewet. Dia yang merupakan anak jati Kg Selboh, Parit berkata, terdapat beberapa cabaran yang perlu ditempuhi oleh mereka yang baru hendak bertapak dalam bidang penternakan ikan.
Menurut Jamil, sebuah sangkar ikan menelan kos sebanyak RM 20,000, termasuk kos penyelenggaran, makanan ikan dan gaji pekerja. Katanya, antara cabaran utama di dalam penjagaan ikan ialah keadaan air pasang surut yang tidak menentu serta pembiakan ikan yang bermusim. Tambahnya, bidang penternakan ikan memerlukan kesabaran yang tinggi dan minat yang mendalam kerana ia perlu dipelajari daripada mereka yang berkemahiran dan tahu selok- beloknya. "Tulang empat kerat ini saya gunakan untuk mengusahakan semua sangkar ikan tapi saya cukup minat, walaupun kerja ini bukanlah popular di kalangan orang ramai,” tambahnya. Jamil memberitahu, di dalam masa sebulan, dia boleh menjual sehingga dua tan ikan dan setiap satu sangkar penuh, boleh dijual sehingga RM6,000, bergantung kepada penjagaan.
Harapannya, agar orang muda dapat membuka mata mereka terhadap bidang penternakan ikan yang semakin mendapat permintaan orang ramai dewasa ini. Walaupun bersengkang mata memerah keringat dan berselimut lumpur, Jamil berharap agar pelbagai agensi dapat bekerjasama melatih anak muda yang masih tidak mengetahui keuntungan bidang itu.