Yayasan Perak mahu menggilap beberapa bakat baru dalam sukan boling terutamanya bagi menerajui acara tersebut pada peringkat profesional.
Pengurus Besarnya, Abdul Razak Mohamed berkata, pihaknya menganjurkan kejohanan tenpin boling untuk mengenalpasti pemain pelapis khususnya dari peringkat sekolah menengah.
Menurut beliau, melalui kejohanan itu, pihaknya dapat mengesan beberapa bakat baru yang amat berpotensi untuk digilap dan diasah kemahiran bermain bolingnya.
"Pada hari ini juga, kita menerima sambutan cukup baik iaitu 52 peratus daripada golongan mahasiswa manakala 49 peratus daripada peringkat menengah," katanya ketika ditemui Suara Perak selepas menyampaikan hadiah kepada para pemenang dalam program Open Tenpin Boling Yayasan Perak di Ipoh Parade pada petang Sabtu.
Jelas beliau, pihaknya amat mengharapkan acara sukan yang proaktif itu menjadi platform untuk mencungkil bakat baharu di kalangan belia bagi mewakili Perak.
Dalam pertandingan itu, beberapa kategori telah dipertandingkan dan menampakkan persaingan sengit di kalangan peserta kejohanan tenpin terbuka bawah 24 tahun.
Chong Yew Jin, yang memperoleh mata keseluruhan sebanyak 563 jatuhan pin berkata, pertandingan tersebut merupakan sesuatu yang membolehkannya mengasah daya saing sukan di samping bertemu dengan rakan seperjuangan daripada berbilang kaum.
Dia yang memenangi Kategori Pemain Individu Lelaki Terbaik berharap agar pertandingan ini dapat diteruskan pada masa hadapan agar lebih banyak bakat terpendam dalam sukan boling dapat diketengahkan.
"Saya sebenarnya tidak menyangka begitu ramai pesaing di kalangan belia Perak ini, saya nyaris-nyaris tidak menjuarai pertandingan ini kerana sengitnya permainan hari ini," ujarnya yang mewakili pasukan Ipoh Young Boys.
Kategori pemain individu wanita pula dirangkul oleh Fatin Azmira Khairul Faizi dari pasukan Black Widow manakala Kategori Berpasukan Lelaki dan Wanita masing-masing dimenangi oleh Bowlers Boys dan Deadpool.