Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak, Datuk Seri Dr Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar dilantik sebagai Presiden Muay Perak yang pertama.
Pelantikan tersebut diputuskan sebulat suara dalam mesyuarat agung pertama persatuan sukan itu di Hotel Seri Malaysia Ipoh pada Ahad.
Raja Ahmad Zainuddin yang selama ini sinonim dengan sukan bola sepak berkata, kesediaannya untuk menerima jawatan itu adalah semata-mata untuk memberi sumbangan kepada pembangunan sukan negara.
"Tambahan pula, kebetulan saya tidak lagi memegang apa-apa jawatan dalam mana-mana persatuan sukan, apa yang penting saya mahu mempromosikan sukan negara," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat itu.
Menurut beliau, antara matlamat utama beliau ialah mahu membawa muay menjadi sukan yang diterima sehingga ke peringkat Sukan Olimpik.
Sebelum ini Raja Ahmad pernah menjawat beberapa jawatan penting, termasuk Naib Presiden FAM dan Timbalan Presiden PAFA.
Selain Raja Ahmad Zainuddin mesyuarat pertama Muay Perak turut melantik Jamaluddin Ismail sebagai Timbalan Presiden, Tarmizi Mat Junoh dan Mohd Hisham Abd Hadi (Naib Presiden), Mohd Ezry Azamin Abd Wahab (Setiausaha), Mutiara Aziz (Bendahari) dan lapan ahli jawatankuasa - Razak Baharom, Kamarul Danial, Razman, Zamri Abdullah, Mohd Sayuti, Tong Eu Juan, Amirul Mustafa dan Zamri Tajie.
Turut hadir pada mesyuarat itu, Presiden Muay Kedah merangkap Setiausaha Agung Muay ASEAN dan wakil Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak.
Muay Perak merupakan persatuan muay yang keenam selepas Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Kuala Lumpur.
Dalam pada itu Raja Ahmad Zainuddin memberitahu, Iskandar Zulkarnain Mohd Ezry dari Muay Perak akan mewakili negara bersama-sama empat orang lagi peserta ke First International Thai Martial Art Games & Festival / Third World Muay Boran Championship di Bangkok pada 12 - 18 Mac ini.