top of page

Perak perlu pamer aksi terbaik lawan Kelantan


Di sebalik jadual harian yang padat, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir hari ini sempat meluangkan masa kira-kira 30 minit untuk bersama skuad Liga Super negeri itu di Stadium Perak di sini.

Zambry yang lengkap berpakaian sukan, tiba kira-kira pukul 5.30 petang untuk menyaksikan sendiri latihan akhir skuad 'Bos Gaurus' sebelum melayan kunjungan Kelantan dalam perlawanan pertama Liga Super malam esok.

Dalam amanat ringkasnya, Zambry mahu pemain mempamerkan aksi bersemangat dan tidak mudah mengalah kepada lawan.

"Perak mesti menang esok, lawan dengan bersungguh-sungguh...jangan putus asa dan jangan tunjuk kelemahan semasa perlawanan," katanya.

Zambry turut meluangkan masa kira-kira 15 minit bermain bersama skuad itu selain meninjau keadaan sekitar Stadium Perak termasuk kerusi pemain simpanan yang baharu.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan yakin 'Bos Gaurus' akan menang perlawanan esok kerana semua pemain telah bersiap dari segi fizikal dan mental untuk menentang Kelantan.

"Kita juga yakin semua pemain import akan membantu Perak mengutip mata pertama bagi saingan musim ini," katanya.

Musim ini Perak akan dibarisi empat awang import iaitu Erick Weeks Lewis dari Liberia, Thiago Junio Aquino dan Elias Fernandes De Oliveira dari Brazil serta Vokhid Shodiev dari Uzbekistan. - Bernama


4 views0 comments
bottom of page