top of page
muinsapidin

Pengalaman Manis 42 Pengamal Media Perak di India

BARU-BARU ini 42 pengamal media daripada pelbagai agensi media di Perak berpeluang membuat lawatan singkat ke India, negara yang sememangnya dikenali paling padat penduduk di dunia.

Lawatan selama lima hari empat malam bermula 17 Januari dianjurkan Kelab Sukan dan Kebajikan Media Perak dengan disertai Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Dato’ Akmar Hisham Mokhles selaku ketua delegasi.

Program yang dinamakan Perkongsian Budaya Media Perak, Malaysia-India membawa delegasi ke kawasan tumpuan pelancong segitiga emas India, New Delhi-Agra-Jaipur.

Lawatan ini merupakan pengalaman pertama bagi majoriti peserta delegasi yang rata-rata langsung tidak dapat menjangka apa yang bakal dirasai dan lihat sepanjang berada di negara itu.

Walaupun sedia maklum akan tahap kebersihan negara itu yang tidak memuaskan, namun melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana mudah rakyatnya membuang air kecil di merata-rata tempat, timbunan sampah sarap di setiap sudut, selaput debu tebal menutupi pokok dan bangunan, kesesakan dan hiruk pikuk ibu kota Delhi dan kesengsaraan golongan miskin menjalani kehidupan di tepi-tepi jalanraya membuatkan peserta delegasi merasa betapa bertuahnya lahir dan hidup di bumi Malaysia.

Namun disebalik pemandangan negatif yang terpaksa ditelan pelancong, India sebenarnya merupakan sebuah negara yang menarik untuk dikunjungi.

Ini kerana negara itu kaya dengan budaya, warisan, monumen, seni bina, kuil-kuil, masjid, keindahan alam dan penuh warna warni menjadikan ia destinasi pelancongan dunia paling dicari

Kemesraan dan layanan mesra yang diberikan orang-orang India terhadap pelancong juga agak menakjubkan kerana mereka percaya pada “Atithi Devo Bhawa” bahawa tetamu seperti Tuhan.

Pepatah ‘tak kenal maka tak cinta’ merupakan kesimpulan paling sesuai digunakan bagi lawatan kami ke negara ketujuh terbesar dunia ini berikutan peluang melihat banyak kesan tinggalan sejarah dan senibina purba yang masih terpelihara.

Kunjungan ke Taj Mahal yang terletak di bandar Agra misalnya benar-benar memberi kesan kerana bangunan lama berusia lebih 300 tahun itu benar-benar indah sebagaimana yang digambarkan.

Tidak terjangkau fikiran bagaimana manusia 300 tahun dahulu tanpa sebarang teknologi moden seperti hari ini dapat membina sebuah bangunan putih serba indah dibaluti batu marmar, penuh dengan ukiran-ukiran kaligrafi Arab dan pola-pola bunga berwarna merah, kuning, biru tua, hijau. Bahagian bunga tersebut pula dipahat dengan batu-batu arked yang mana kalau dipantulkan cahaya, ukiran bunga itu akan bersinar mengikut warna batu tersebut.

Dek kerana terlalu kagum dengan senibina Taj Mahal rombongan menghabiskan masa lebih tiga jam meneroka setiap sudut keindahan bangunan putih ini sambil berfotografi menggunakan telefon pintar masing-masing.

Lebih menarik, rombongan ini berjaya mencuri pandangan pengunjung-pengunjung pelbagai negara lain kerana mengenakan pakaian tradisional masing-masing seperti berbaju Melayu, baju kurung, cheongsam bagi yang berbangsa Cina dan peserta India mengenakan kurta sekaligus mempromosikan kepelbagaian budaya di Malaysia.

Sebelum ke Taj Mahal, rombongan dibawa ke Agra Fort juga dikenali dengan Red Fort, bangunan kubu merah berusia lebih 200 tahun yang dibina di zaman keagungan kerajaan Mungal.

Binaan ini sangat besar dan tinggi dan keteguhannya melambangkan kehebatan kerajaan Islam pada ketika itu.

Destinasi berikutnya adalah Jaipur yang lebih dikenali dengan nama jolokan pink city.

Kota yang dipenuhi dengan pelbagai bangunan lama seakan-akan istana memiliki warna dominan dari merah muda. Bangunan di kota itu diwarna sedemikian rupa atas arahan Raja Jaipur ketika itu, Maharaja Ram Singh yang mahu semua bangunan memakai warna merah muda bagi meraikan kedatangan Ratu Victoria dan Raja Wales yang berkunjung ke kota itu pada tahun 1876.

Selain bangunan bersejarah, kami juga berkesempatan mengunjungi masjid lama seperti Masjid Fatehpuri di Agra yang dibina pada kurun ke-17 dan pada hari terakhir Masjid Jama di New Delhi. Melihat keutuhan senibina dan keunikan kedua-dua masjid ia cukup mengujakan kami.

Namun disebalik itu, terselit juga rasa sedih melihat kebersihan di persekitaran masjid yang tidak dijaga selain dipenuhi dengan pengemis kanak-kanak yang tidak berhenti meminta sedekah.

Daripada temubual singkat dengan pengurusan masjid di situ, kami dimaklumkan mereka bergantung kepada sumbangan ikhlas pengunjung semata-mata kerana tiada peruntukan khas yang disalurkan kerajaan untuk tujuan menguruskan masjid-masjid di India.

Persatuan India Muslim Perak diketuai Dato Jawahar Ali yang turut mengikuti rombongan mengambil kesempatan ini menyerahkan sumbangan kepada masjid-masjid ini berupa surah Yassin dan naskah Al-Quran.

Selain kunjungan ke tempat bersejarah, rombongan juga sempat merasai nikmat membeli belah pelbagai barangan kraftangan dan kain saree dengan harga yang murah.

Lawatan singkat ke India ini sememangnya membuka minda dan memberi satu pengalaman manis buat peserta yang juga merupakan petugas media di negeri ini.

Banyak lagi tempat-tempat menarik yang perlu dilawati di negara yang dikenali dengan ‘The Jewel of South East Asia’ ini seperti Kerala, Kashmir, Mumbai, Bombay dan Goa.

Hasil lawatan ini, sekurang-kurangnya wartawan di Perak kini boleh mengelar diri mereka ‘traveller’ (pengembara) berjaya menjejakkan kaki ke bumi India sepertimana ungkapan yang biasa kita dengar – ‘you are not a true traveller if you haven’t been to India’(anda bukan pengembara sekiranya belum ke India).


43 views0 comments
bottom of page