PENYOKONG Perak menjangkakan saingan sengit apabila berdepan Kelantan pada aksi sulung Liga Super 2016 di Stadium Perak, malam ini.
Krew yob4ever.com, Ahmad Zaimy Mohd Yatim menyifatkan aksi pembukaan malam ini sebagai ujian sebenar buat kedua-dua pasukan setelah bertungkus lumus menyediakan pasukan bagi musim ini.
Menurutnya, penonton bakal disajikan dengan aksi penuh mendebarkan daripada kedua-dua pasukan kelak.
“Perlawanan pembuka tirai selalunya sukar untuk mana-mana pasukan sekali pun. Masing-masing belum dapat rentak dan bergelut mencari feel untuk harungi perlawanan sebenar.
“Tambahan pula Perak akan dibarisi hampir 80 peratus tenaga muda yang juga prospek masa depan Perak, berbanding Kelantan yang sudah cukup masak dengan asam garam saingan Liga Malaysia (Liga-M).
“Oleh itu, pasukan mana yang lebih dahulu settle down akan memiliki peluang lebih cerah untuk membawa pulang tiga berharga,” katanya kepada Sinar Harian.
Dalam pada itu Ahmad Zaimy mengharapkan semua penyokong setia skuad Kejor Yeop Skor itu untuk membanjiri stadium untuk memberi sokongan padu kepada pasukan.
Katanya, kehadiran pemain ke-12 (penyokong) dilihat mampu menyemarakkan lagi semangat kesebelasan pemain untuk beraksi cemerlang dan seterusnya menjamin kejayaan pasukan.
“Moh kita ke stadium yeop, yong semua. Kalau bukan kita siapa lagi?” katanya. - Sinar Harian