top of page
muinsapidin

Malam Cinta Rasul, Taiping Berselawat Tarik 20,000 hadirin

TAIPING – Hampir 20,000 umat Islam berselawat bersama-sama tokoh agama tersohor nusantara, Habib Syech Abdul Qadir As-Seggaf sempena Malam Cinta Rasul, Taiping Berselawat di Padang Esplanade di sini baru-baru ini.

Program tersebut anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Yayasan Kemajuan Islam Darul Ridzuan (KADIR), Majlis Perbandaran Taiping, Pejabat Daerah Taiping, Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Kerja Raya, Lembaga Air Perak, Tenaga Nasional Berhad dan TV Al-Hijrah.

Pengerusi KADIR, Dato’ Azhar Ahmad berkata, program itu adalah yang keempat selepas di Ipoh, Pangkalan TLDM dan Kerian.

Program Taiping Berselawat bermula seawal jam 6.30 petang dengan persembahan qasidah daripada kumpulan Ash-Sohabah, Al-Barakah dan Sautul Firdaus yang diikuti dengan solat berjemaah Maghrib dan Isyak.

Hujan yang turun tidak menghalang umat Islam yang hadir untuk berselawat bersama-sama Habib Syech yang berlangsung dari jam 9 malam sehingga kira-kira jam 11 malam,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru umat Islam yang tinggal di daerah Larut Matang dan Selama serta kawasan sekitarnya, khususnya peminat program Malam Cinta Rasul dapat datang beramai-ramai mengambil bahagian.

“Dengan adanya program seumpama ini, kita berdoa agar negeri kita sentiasa diberkati, mendapat rahmat daripada Allah S.W.T dan dijauhi daripada bala bencana,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Azhar berkata, Majlis Perbandaran Taiping turut menganjurkan ekspo jualan, Halal Fest @ Taiping berhampiran tapak program pada 8 – 10 Oktober.

Walaupun hujan masih turun ketika majlis berlangsung, bilangan pengunjung makin bertambah sehingga memenuhi lokasi program tersebut dan hampir 60 peratus pengunjung yang hadir terdiri daripada golongan muda.

Menurut Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Dato’ Abdul Rahim Md Ariff, masyarakat di sekitar Taiping, khususnya generasi muda, sentiasa memberikan maklum balas positif terhadap program-program yang berunsurkan keagamaan.

“Berdasarkan pengamatan saya, golongan muda sentiasa memberi reaksi positif terhadap program-program keagamaan. Kalau kita ada ekspo, kena ada ceramah agama, baru ramai orang datang, bukan nak nyanyi baru penuh, tapi program agama yang penuh,” ujar beliau. - Suara Perak


12 views0 comments
bottom of page