IPOH: Pemain Liberia, Erick Weeks Lewis menjadi awang import keempat Perak menggantikan Oybek Kilichev bagi menghadapi kancah Liga Super musim ini yang bermula esok.
Weeks Lewis yang genap berusia 30 tahun pada 10 Mac ini menggantikan Kilichev yang tidak layak bermain dalam Liga M kerana datang dari pasukan Paykan, sebuah pasukan division dua Liga Teluk Parsi.
Berikutan itu Perak tidak mendaftarkan pemain tengah Uzbekistan berwibawa itu dan bertindak segera mencari pengganti.
Usaha mereka itu menyaksikan penemuan Weeks sekali gus melenyapkan keresahan peminat pasukan Yob.
Weeks memeterai ikatan dengan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) selepas menjalani pemeriksaan kecergasan dan kesihatan di Ipoh, kelmarin.
Malah, nama pemain yang mempunyai ketinggian 1.73 meter itu sudah didaftar kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk bergandingan dengan dua pemain import dari Brazil, Thiago Junio Aquino dan Elias Fernandes De Oliveira serta penyerang Uzbekistan, Vokhid Shodiev.
PAFA kini hanya menunggu ketibaan Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) pemain tengah itu bagi membolehkannya beraksi dalam perlawanan sulung Perak bertemu Kelantan di Stadium Perak, malam esok.
Menurut sumber itu, kemungkinan Perak mendapatkan ITC pemain itu cukup cerah kerana Weeks kali terakhir beraksi untuk pasukan Pusamania Borneo FC.
"Kita berdoa sijil pemain itu tiba sebelum sepak mula agar dia dapat diturunkan," katanya.
Katanya, kehadiran pemain itu bertepatan kerana secara kebetulan Perak tidak dapat menurunkan dua pemain tengah iaitu kapten, Mohd Nasir Basharuddin dan Mohd Nurridzuan Abu Hassan dalam perlawanan pembuka tirainya itu.