SERI ISKANDAR - Generasi muda perlu mengelakkan menjadi mangsa kepada provokasi sesetengah pihak yang cuba untuk melunturkan semangat jati diri serta entiti demokrasi berparlimen yang telah membentuk bangsa Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah, YB Dato’ Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, adalah penting bagi golongan belia untuk bijak menapis segala jenis kenyataan yang disalurkan media sosial.
Menurut beliau, negara sudah mempunyai entiti modal insan yang diajar untuk menghormati sistem demokrasi berparlimen yang menerapkan nilai kesepakatan menghargai pengorbanan generasi terdahulu.
“Memang ada pihak yang cuba mencerca amalan yang telah kita susun atur kemas ini, sistem ini, namun yang paling penting adalah jati diri yang ada di jiwa kita, hormatilah kemerdekaan pemikiran yang amat susah kita kecapi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Dialog/Forum Program Demokrasi Berparlimen “Raja dan Rakyat Berpisah Tiada” di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di sini baru-baru ini.
Menurut Drs Nizar, seseorang itu boleh memiliki pola pemikiran dan ilmu yang tinggi, namun yang menentukan nilai patriotisma dalam diri mereka adalah sifat cintakan negara yang tersemat sejak kecil lagi.
Jelasnya, pendidikan merupakan faktor yang amat penting dalam melatih nilai cintakan negara dan memberikan iltizam kepada masyarakat mengenai harga sesebuah kesepakatan melalui kemerdekaan tanpa mengira latar belakang.
“Kita sebenarnya rakyat Malaysia, mempunyai peradaban dan formaliti yang tinggi, jadi jangan ada pihak cuba menangguk air di air yang keruh dan cuba memecahbelahkan kita,” ujarnya.
Beliau yakin, dengan elemen pendidikan serta penyertaan generasi muda di platform dialog bertemakan demokrasi berparlimen seperti itu, akan mengelakkan mereka sekadar menjadi penonton kepada perkembangan negara, sebaliknya boleh menyumbang kepada tanah air.