IPOH: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz mencabar Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad jangan hanya pandai bercakap sahaja tetapi buktikan bahawa Bersatu mampu menawan Perak pada Pilihan Raya Umum ke 14 nanti.
Katanya, rakyat sahaja yang boleh menentukan dalam hal ini melalui proses pilihan raya nanti dan bukannya Tun Mahathir .
Menurut beliau, kenyataan yang dibuat Tun Mahathir yang menyasarkan untuk mengambil alih kerajaan Perak melalui proses “lompat” parti oleh wakil rakyat Barisan Nasional sebenarnya untuk menaikkan semangat orang-orangnnya (Bersatu) bahawa ada peluang untuk menawan negeri ini.
``Sebenarnya yang akan menentukan nanti adalah rakyat dan bukannya Tun Mahathir dan kita tunggu dan lihat nanti,’’ katanya.
Beliau yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Pertukaran Kebudayaan Cina Koridor Menglembu di Menglembu pada Ahad.
Sehubungan itu, Nazri mengulangi cabarannya supaya Tun Mahathir bertanding di Parlimen Padang Rengas dalam PRU ke 14 nanti.
``Saya sedia menunggu kedatangan Tun Mahathir untuk bertanding di Parlimen Padang Rengas dalam pilihan raya nanti,’’ katanya.
Comments