top of page
  • muinsapidin

Pusat Rekreasi Jangan Ketepikan Aspek Ibadah

IPOH: Pengurusan pusat-pusat rekreasi di Perak diminta supaya tidak mengenepikan aspek-aspek ibadah, selain daripada aktiviti untuk mendapatkan pendapatan mereka semata-mata.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, pelbagai aktiviti boleh dilakukan, bukan hanya program keagamaan secara langsung, tetapi yang dituntut oleh agama.

Beliau memberi contoh, aktiviti-aktiviti yang boleh mengeratkan silaturrahim antara keluarga dan masyarakat, penjagaan kebersihan dan memelihara alam sekitar.

“Semua itu dituntut oleh agama, sebab ia untuk kebaikan manusia, termasuk menjaga dan mengekalkan kebersihan di pusat-pusat rekreasi,” katanya kepada Suara Perak selepas merasmikan Surau As-Said di Lubuk Timah Hotspring di Simpang Pulai dekat sini malam tadi (Khamis).

Hadir sama Pengerusi Eksekutif Lubuk Timah Sdn. Bhd., Datuk Wira Mohd Yusoff Kassim dan Pengarah Urusannya, Fadzil Akhma Mohd Yusoff.

Sambil memuji usaha yang dilakukan oleh pengurusan pusat rekreasi itu, Drs Nizar berkata, ia patut dicontohi oleh pusat-pusat peranginan lain di negeri ini.

Sementara itu, Fadzil Akhma memberitahu, surau yang terletak di tengah-tengah pusat rekreasi berkenaan boleh memuatkan kira-kira 40 jemaah pada satu-satu masa, termasuk untuk jemaah wanita.

“Kami sediakan surau ini sebagai salah satu tanggungjawab untuk menyediakan kemudahan kepada umat Islam yang datang berkunjung ke sini,” ujar beliau.

Di samping itu, kata beliau, pihaknya juga akan meneruskan program-program keagamaan, seperti ceramah agama di masa-masa akan datang, selain aktiviti untuk meningkatkan lagi kemudahan untuk pengunjung.

Pada majlis itu, Drs Nizar turut menyampaikan ceramah bertajuk `Perpaduan Ummah’.


42 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page