IPOH: Pengasas Vida Beauty, Datuk Seri Hasmiza Othman (Dr Vida), 45, mendapat kebenaran Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat untuk mendapatkan sementara pasportnya atas urusan ke luar negara termasuk menunaikan umrah.
Keputusan itu dibuat Hakim Murtazadi Amran selepas peguam tertuduh, Khairil Azwar Khalil membuat permohonan mendapatkan passport itu dan mengarahkan tertuduh untuk menyerahkan kembali pasportnya selewat-lewatnya 6 Februari.
Murtazadi menetapkan 9 dan 10 Mac tahun depan sebagai tarikh perbicaraan kes berkenaan selepas Hasmiza kekal dengan pengakuan tidak bersalah.
Khairil Azwar ketika permohonan memberitahu mahkamah anak guamnya akan ke Bangkok, Thailand pada 3 Januari, Guangzhou, China pada 16 hingga 22 Januari dan menunaikan umrah pada 26 Januari hingga 3 Februari.
Timbalan Pendakwaraya Datuk Raja Rozela Raja Toran bagaimanapun membantah keputusan itu dan memberitahu mahkamah bahawa pihaknya tidak menerima sebarang surat permohonan daripada peguam tertuduh.
Hasmiza sebelum ini didakwa pada 13 Oktober lalu atas 16 pertuduhan gagal membayar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi tempoh 1 April 2015 hingga 31 Julai lalu berjumlah RM4.2 juta.