top of page
  • muinsapidin

Rombongan Food Flotilla For Myanmar Berlepas 10 Januari Depan

IPOH: Rombongan Food Flotilla For Myanmar yang membawa ubat-ubatan dan makanan dijangka akan berlepas daripada Pelabuhan Kelang pada 10 Januari akan datang.

Timbalan Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Zulkifly Ibrahim berkata, rombongan tersebut akan berhenti di perairan antarabangsa berdekatan dengan Myanmar, seterusnya ke Pelabuhan Teknaf di Bangladesh.

Menurut beliau, setibanya di pelabuhan itu, mereka akan mengadakan rundingan bagi menyalurkan bantuan kepada pelarian Rohingya di sempadan Bangladesh melalui Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bagi Pelarian (UNHCR) dan International Organization for Migration (IOM) yang diurusetiakan oleh Bangladesh.

Katanya, MAPIM turut mendapat kerjasama daripada Kelab Putra 1 Malaysia di samping daripada Kementerian Luar, khususnya Wisma Putra.

“Selain daripada makanan dan ubat-ubatan, kita mensasarkan lebih kurang 200 orang yang juga akan pergi bersama kapal, terdiri daripada orang politik, individu, agamawan, para doktor, media dan NGO antarabangsa dengan harapan dunia akan melihat apa yang berlaku di Myanmar itu sebagai sesuatu yang memerlukan perhatian dan perlu diselesaikan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan cek sumbangan bernilai RM150,892 yang berjaya dikutip di masjid-masjid seluruh negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Khamis.

Cek disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Drs Mohd. Nizar Zakaria.

Zulkifli berkata, hasil desakan kerajaan Malaysia dan sokongan dunia, satu permukiman Menteri-Menteri Luar telah diadakan di Yangon dua minggu lalu yang memutuskan kerajaan Myanmar melalui Aung San Suu Kyi bersetuju membuka ruang supaya bantuan dapat disalurkan kepada etnik Rohingya.

Beliau memberitahu, setakat ini, hampir RM1 juta berjaya dikumpulkan untuk tabung bantuan masyarakat Islam Rohingya.


19 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page