top of page
muinsapidin

123 Terima Barangan Perniagaan Bantunita 2016

IPOH: Seramai 123 peniaga kecil dari pelbagai kaum menerima bantuan barangan perniagaan di bawah program Bantunita 2016 bernilai lebih RM232,000.

Bantuan diserahkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Rusnah Kassim dalam satu majlis khas di Dewan Persatuan Bulan Sabit Merah di sini pada Khamis.

Rusnah berkata, tahun ini merupakan kali ke empat program Bantunita dilaksanakan untuk membantu golongan wanita yang berniaga secara kecil-kecilan dengan pendapatan isi rumah tidak melebihi RM2,000.

Beliau memberitahu, sejak diperkenalkan tahun 2013, seramai 365 orang telah mendapat manfaat itu dengan nilai barangan keperluan untuk berniaga hampir RM640,000.

“Setiap penerima kita tapis dan mereka memilih sendiri peralatan yang mereka mahukan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan itu yang turut dihadiri Pegawai Khas kepada Menteri Besar, Datuk Dr Azizah Johor.

Rusnah berkata, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan bagi memastikan mereka yang menerima bantuan itu masih menggunakan peralatan yang mereka terima, seperti akujanji yang ditandatangani.

“Jika tidak digunakan lagi, kita akan mengambil semula peralatan itu kerana ramai lagi yang memerlukannya,” ujar beliau sambil memberitahu, setakat ini penerima memanfaatkan sepenuhnya bantuan yang diterima.

Menurut beliau, sekiranya mereka memerlukan tambahan modal, pihaknya juga bersedia untuk mengaturnya bersama-sama TEKUN, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan skim mikro kredit Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBU)

Beberapa penerima yang ditemui melahirkan rasa syukur dengan bantuan yang diterima dan berjanji akan menggunakannya sebaik mungkin untuk membantu menambah pendapatan keluarga.

Halimah Lahakim, 42, yang berniaga air tebu di simpang Felda Sg Behrang berkata, dengan adanya mesin baru itu, dia boleh berniaga lebih masa kerana mesin lamanya sudah uzur.

“Mesin lama saya tidak boleh kerap digunakan kerana sudah uzur, Alhamdulillah, dengan mesin baru ini, tidak ada masalah lagi,” kata ibu kepada tiga anak itu yang telah berniaga sejak 15 tahun lalu.

Bagi ibu tunggal, Chin Sau Ling, 41, yang menjual pelbagai jenis mee sejak lima tahun lalu di Jalan Ketoyong, Tanjung Malim, pinggan mangkuk serta sudu garfu baru yang diterima menguatkan azamnya untuk menambah pendapatan bagi menampung perbelanjaan ibu dan tiga anaknya.

Penerima mesin jahit yang juga seorang OKU, Roshazahan Saadon, 29, juga mahu menambahkan lagi pendapatan keluarga dengan mengambil upah menjahit di rumahnya di Chemor.

“Saya telah menjahit sejak berumur 18 tahun lalu dan dengan adanya mesin jahit baru ini, insya Allah, saya akan manfaatkannya sebaik mungkin,” ujarnya.


45 views0 comments
bottom of page