top of page
  • muinsapidin

Tiada Kejadian Tanah Runtuh Semasa Kerja Pembersihan Tanah

CAMERON HIGHLANDS: Tiada kejadian tanah runtuh berlaku semasa kerja-kerja pembersihan tanah dijalankan di kawasan kejadian tanah runtuh yang membabitkan rumah peranginan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sejak pagi hingga petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands, Mohamad Haziq Hazmi berkata, kerja-kerja pembersihan itu dijalankan oleh hampir 20 kakitangan TNB sejak jam 9 pagi hingga 5 petang dengan menggunakan 30 buah lori untuk mengangkut keluar tanah dan batang pokok yang tumbang dalam kejadian itu.

Menurut beliau, seramai lapan anggota bomba telah bertugas memantau kerja-kerja pembersihan itu yang berjalan lancar sehingga ke petang tanpa tanda-tanda kejadian tanah runtuh berulang.

``Kerja-kerja pembersihan telah dijalankan oleh pihak TNB dengan pemantauan pihak bomba di mana tanah-tanah dan batang pokok yang tumbang di kawasan rumah peranginan ini dikeluarkan menggunakan 30 buah lori.

``Semalam ada sedikit hujan dan pihak bomba membuat pemantauan semasa kerja-kerja pembersihan dijalankan dan pada hari ini cuaca agak baik tiada sebarang pergerakan tanah dikesan di kawasan rumah peranginan itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa membuat pemantauan dilokasi kejadian kawasan rumah peranginan TNB yang dikenali `The Sharples’ di Tanah Rata pada Selasa.

Menurut Muhamad Haziq, rumah peranginan itu setakat ini masih dikosongkan dan tidak boleh digunakan kerana risiko kejadian tanah runtuh mungkin berulang lagi.

Beliau berkata, pihak bomba sentiasa bersiapsiaga dan memantau kawasan-kawasan yang berisiko tinggi berlakunya kejadian tanah runtuh, antaranya Terisu di mukim Brincahang, Kampung Teringkap dan Lembah Bertam.

Sementara itu tinjauan Suara Perak di lokasi kejadian mendapati beberapa orang pegawai pengurusan harta TNB dan pakar cerun dari JKR Pahang masih menjalankan kajian di kawasan Cerun bukit berhampiran rumah peranginan itu.

Beberapa orang pegawai TNB dan JKR ketika dihampiri bagaimanapun tidak mahu mengulas mengenai insiden itu dan menyerahkannya kepada pihak atasan.


20 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page