top of page
  • muinsapidin

Tanah Runtuh Tiada Kaitan Pencerobohan

CAMERON HIGHLANDS: Kejadian tanah runtuh di kawasan rumah peranginan Tenaga Nasional Berhad (TNB) baru-baru ini tiada kaitan dengan kegiatan pencerobohan tanah di atas bukit berhampiran rumah peranginan berkenaan.

Menurut Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintenden (DSP) Hasadid A. Hamid, setakat ini tiada kegiatan pencerobohan tanah dikesan di kawasan berkenaan dan insiden tanah runtuh itu berpunca daripada curahan hujan yang tinggi serta limpahan air yang melebihi daripada biasa.

Katanya, kadar curahan hujan yang tinggi pada 15 Disember (Ahad ) lalu yang direkodkan oleh Pejabat Meteorologi Tanah Rata adalah 100.9mm.

“Maklumat daripada Jabatan Meteorologi mencatatkan dari jam 2.30 petang hingga 3.30 petang pada tarikh tersebut mencatatkan jumlah curahan hujan melebihi 100mm dan ini menyebabkan berlakunya kejadian tanah runtuh dan kejadian banjir kilat di Tanah Rata,” katanya dalam satu sidang di kawasan rumah peranginan TNB di Tanah Rata pada Rabu.

Menurut beliau, tiada kemalangan jiwa dilaporkan di dalam insiden itu, cuma berlaku kerosakkan pada empat buah kenderaan milik pengunjung rumah peranginan tersebut.

Beliau turut menjelaskan bahawa kajian cerun di atas bukit berhampiran kawasan kejadian masih lagi dijalankan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) yang dijangka selesai dalam tempoh empat bulan.

Beliau memberitahu, pihak PDRM dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat sentiasa bersiap siaga memantau kawasan-kawasan yang dikenalpasti berisiko tinggi berlakunya kejadian tanah runtuh antaranya di Kuala Terla dan Kampung Raja.

Hasadid berkata, orang ramai tidak perlu bimbang kerana Cameron Highlands masih selamat untuk dikunjungi.

Sehubungan dengan itu, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat palsu di laman sosial sehingga boleh menjejaskan pusat peranginan itu.

“Tindakan mereka ini (menyebarkan maklumat palsu) boleh menimbulkan kegusaran di kalangan pelancong dan masyarakat setempat.

“Saya minta mereka (pengunjung) berhubung dengan pihak berkuasa yang terlibat terlebih dahulu bagi menentukan kesahihan maklumat yang diterima,” katanya.


23 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page