Kerajaan negeri Perak memberi jaminan akan membela nasib 12 kanak-kanak di rumah kebajikan Caring Hands di Taman Lim, Ipoh yang berisiko kehilangan tempat tinggal.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Rusnah Kassim berkata Jabatan Kebajikan Masyrakat (JKM) akan berusaha memberi lesen serta membantu mencari tempat baharu untuk kesemua wanita berusia di antara 7 hingga 18 tahun berkenaan jika rumah yang diduduki sekarang diambil semula oleh pemiliknya.
“Ketika ini ada satu kes yang difailkan di mahkamah untuk menentukan siapa pemilik rumah sebenar rumah itu, sama ada ia milik seorang individu atau milik persatuan yang menguruskan rumah kebajikan berkenaan.
“Sekiranya mahkamah memutuskan status premis itu milik individu berkenaan dan anak-anak itu terpaksa dikeluarkan, JKM akan bantu menempatkan anak-anak itu di tempat baharu. Tentang lesen operasi dan lesen pengajaan, mereka tak perlu bimbang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Ipoh pada Rabu.
Dalam pada itu, Rusnah turut mengesa persatuan yang mengurus rumah berkenaan tidak melibatkan krisis dalaman yang melanda pengurusan rumah itu dengan anak-anak di bawah pengajaan mereka.
“Saya nak tekankan di sini jangan disebabkan isu dalaman antara ahli-ahli komuniti itu anak-anak tersebut pula menjadi mangsa, kita tak mahu itu.
“Kita hanya mahu mereka selesaikan isu pemilikan rumah berkenaan supaya JKM dapat menyambung lesen rumah berkenaan demi kanak-kanak yang terlibat,” ujarnya.
Sementara itu, berkenaan dakwaan berlakunya penderaan terhadap 12 kanak-kanak oleh bekas penjaga pusat itu, beliau memberitahu pihak polis sedang menyiasat perkara tersebut.
“Ingin saya tekankan dakwaan dera itu tidak terbukti lagi, kerana ianya hanyalah dakwaan sahaja dan perkara itu telah pun ada dua laporan polis jadi biar polis yang membuat siasatan.
“Jika terbukti benar, biar pihak tertentu yang ambil tindakan terhadap orang yang melakukannya itu,
Baru-baru ini, akhbar berbahasa Inggeris telah mendakwa 12 kanak-kanak perempuan di rumah kebajikan tersebut telah didera dari segi fizikal dan emosi selama bertahun-tahun namun tiada tindakan diambil oleh pihak berkuasa.
Difahamkan individu yang didakwa melakukan penderaan itu telah berhenti kerja beberapa bulan lepas dan kanak-kanak di rumah kebajikan berkenaan kini berada dalam keadaan baik dan selamat.