IPOH: Ekoran sambutan luar jangkaan, Lubuk Timah MTB Challenge bakal dijadikan acara tahunan sebagai salah satu agenda mempromosikan kawasan pelancongan di dalam kawasan pentadbiran Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG).
Lubuk Timah MTB Challenge 2016 yang dianjurkan bersama MDBG dan Pusat Rekreasi Lubuk Timah Sdn Bhd itu berjaya menarik 235 peserta dari seluruh negara untuk bertanding di dalam empat kategori – lelaki terbuka, wanita terbuka, veteran (35 – 44 tahun) dan senior veteran (45 tahun ke atas).
Hadiah wang tunai RM400 hingga RM50 disediakan untuk pemenang pertama hingga kelima setiap kategori di samping sijil dan medal
Pengurus Projek Lubuk Timah Hotspring, Fadzil Akhma Mohd Yusoff berkata, perkara yang paling menarik mengenai program itu ialah pengisian aktiviti yang diadakan dari 24 – 26 Disember lalu.
Menurut beliau, antara pengisiannya ialah persembahan kebudayaan masyarakat Orang Asli, persembahan seni silat Melayu oleh Persatuan Gendang Silat Warisan Pusaka Perak, busker, karaoke dan gerai usahawan.
“Sambutan daripada pengunjung sangat menggalakkan, diluar jangkaan kami dan kebanyakan yang datang juga daripada luar Perak,” katanya kepada Suara Perak pada Rabu.
Fadzil berkata, sebagai sumbangan kepada peniaga setempat di Simpang Pulai, pihaknya juga menyediakan lapan tapak untuk mereka berniaga secara percuma sepanjang program tiga hari itu.
“Alhamdulillah, semua peniaga yang saya temui mengakui mereka memperolehi keuntungan berlipat kali ganda daripada hari-hari biasa dan mereka juga berharap dapat diberi peluang di masa-masa akan datang,” ujarnya.
Menurut beliau, program itu adalah antara sumbangan mereka untuk bersama-sama menyambut Tahun Melawat Perak (TMP) 2017 yang akan tiba beberapa hari lagi.
Beliau memberitahu, sebagai penutup tahun 2016, pihaknya akan mengadakan ceramah agama bertajuk Perpaduan Ummah yang akan disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria mulai jam 9 malam esok (Khamis).
Di samping itu, katanya, sebagai tanda kesyukuran sempena sambutan hari lahirnya pada 2 Januari 2017 dan tanda terima kasih terhadap sokongan yang diberikan, pengunjung tidak akan dikenakan bayaran masuk pada hari tersebut.
Pada hari-hari biasa, pengunjung dewasa dikenakan bayaran masuk RM5, kanak-kanak sekolah RM3 dan percuma untuk warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan penghuni rumah kebajikan.