top of page
muinsapidin

Lagi Kereta Wartawan Kena Pecah

IPOH - Belum reda dengan kejadian pecah kereta Perodua Myvi milik seorang wartawan, Sabtu lalu, cermin kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina milik seorang wartawan akhbar yang diletakkan di kawasan pejabat di Jalan Sultan Iskandar Shah pula dipecah, kelmarin.

Kejadian itu disedari oleh pemiliknya, Rokiah Abdullah, 37, kira-kira jam 7.20 malam apabila mendapati cermin kereta di sebelah penumpang hadapan dipecahkan dipercayai menggunakan objek keras.

Menurutnya, dia mengalami kerugian lebih RM3,000 apabila pencuri berkenaan melarikan sebuah beg yang mengandungi komputer riba dan wang tunai RM300.

“Barangan ditinggalkan di bawah kerusi berkenaan yang turut dilindungi dengan meletakkan tilam bayi dan kerusi bayi bagi mengaburi mata pencuri.

“Kereta berkenaan ditinggalkan kira-kira jam 12 tengah hari untuk masuk pejabat. Apabila balik, saya lihat kaca bertaburan di atas kusyen,” katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Pekan Baharu.

Rokiah berkata, dia mengambil langkah keselamatan dengan tidak mempamerkan barangan berharga dalam kenderaan namun nasib tidak menyebelahinya.

“Saya sorokkan beg berkenaan di bawah kerusi dan kalau dilihat dari luar memang tidak nampak.

“Ini kejadian pertama berlaku sepanjang bertugas selama lima tahun di Ipoh,” ujarnya.


43 views0 comments
bottom of page