top of page
  • muinsapidin

Exco Perak Minta Polis Segera Siasatan Kes Dera Di Rumah Kebajikan

IPOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa segera menyiasat laporan berhubung satu kes penderaan di rumah kebajikan Caring Hands (Kakum Karangal) di Taman Lim, Ipoh.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Rusnah Kassim berkata, Persatuan Penyayang Ipoh selaku pengendali rumah kebajikan itu telah pun membuat dua laporan polis pada 11 Jun dan 12 Ogos lepas.

"Dua laporan polis telah dibuat dan kami serahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut," katanya pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan akhbar berbahasa Inggeris yang mendakwa 12 kanak-kanak perempuan di rumah kebajikan itu didera dari segi fizikal dan emosi selama bertahun-tahun namun, tiada tindakan diambil pihak berkuasa.

Laporan akhbar itu antara lain menyatakan mangsa mendakwa mereka disebat di tapak kaki, tangan dan punggung, selain dimasukkan dalam sangkar anjing dan tidak diberi makanan jika melakukan kesalahan.

Bagi mengukuhkan lagi dakwaan itu, pemeriksaan kesihatan oleh pakar perunding kanak-kanak Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh juga telah mengesahkan bahawa mangsa telah lama mengalami penderaan.

Rusnah berkata, individu yang melakukan penderaan itu telah berhenti kerja beberapa bulan lepas dan kanak-kanak di rumah kebajikan berkenaan kini berada dalam keadaan baik dan selamat.

"Pihak JKM dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Datin Paduka Chew Mei Fun telah melawat rumah kebajikan itu dan melihat keadaan penghuni," katanya.

Menurutnya, rumah kebajikan itu beroperasi secara sah dan pihaknya memberi jaminan premis itu tidak akan ditutup sebaliknya terus beroperasi seperti biasa.

Rumah kebajikan itu, yang dibuka pada 2002, menjaga 15 orang kanak-kanak dan remaja berumur di antara 7 hingga 18 tahun.


27 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page