top of page
  • muinsapidin

Harga Santan Naik Mendadak Di Perak

IPOH: Kenaikkan harga kelapa yang mendadak sejak seminggu lalu akibat kekurangan bekalan dari Bagan Datoh dan Sabak Bernam menyebabkan kebanyakkan pengusaha santan di daerah ini menaikkan harga santan.

Tinjauan Suara Perak ke beberapa buah kedai menjual utama santan di Batu Gajah, Pengkalan dan Kampung Seri Kinta mendapati harga sekilogram santan di jual antara RM8.00 dan RM10.00 sekilogram berbanding RM7.00 dan RM9.00 sekilogram sebelum ini.

Terdapat juga pengusaha santan yang menjual santan mengikut harga pasar borong pada harga RM8.00 sekilogram dan ada pula yang menjual sampai RM10.00 sekilogram.

Menurut beberapa penjual santan yang ditemui pada Ahad, kenaikkan harga tidak dapat dielakkan ekoran kenaikkan harga kelapa di pasaran iaitu RM1.80 sebiji berbanding RM1.55 sen sebiji sebelum ini.

Seorang pengusaha santan di Seksyen 18, Pengkalan, Zuraini Shaharudin, 46, berkata, disebabkan kenaikkan harga kelapa ketika ini, beliau terpaksa menjual santan mengikut harga borong iaitu pada harga RM8.00 sekilogram berbanding RM7.00 sebelum ini.

``Ramai pelanggan bersungut berikutan kenaikkan harga dan mereka hanya mampu membeli santan yang saya jual pada harga RM2.00 bagi 125 gram dan RM3.00.

``Kebiasaannya saya mendapat bekalan daripada peraih di Sabak Bernam dan Bagan Datoh yang datang menghantar bekalan tiga empat hari sekali ke kedai saya," katanya.

Menurut Zuraini, disebabkan kenaikkan harga kelapa dan kekurangan bekalan, maka bekalan kelapa yang diperolehnya telah berkurangan kepada 300 biji, berbanding 500 sebelum ini.

``Saya sebolehnya tidak mahu menaikkan harga tetapi sekarang harga kelapa naik, jika saya masih jual pada harga lama, saya akan mengalami kerugian. Jadi kami terpaksa naikkan harga mengikut harga kelapa yang dihantar pembekal,’’ ujarnya.

Seorang peniaga di Batu Gajah, Rohana Hamid, 44, pula berkata, disebabkan kenaikkan harga kepala, beliau terpaksa menjual santan pada harga RM10.00 sekilogram berbanding RM9.00 sebelum ini, kelapa parut RM8.00 sekilogram berbanding RM7.00 dan kelapa putih RM9.00 sekilogram berbanding RM8.00.

``Saya hanya mendapat bekalan sebanyak 250 biji kelapa daripada pembekal dari Sabak Bernam dan Bagan Datoh berbanding 500 biji sebelum ini dan bekalan kelapa dihantar tiga hari sekali di kedai saya.

``Disebabkan kenaikkan harga kelapa yang mendadak ini saya juga terpaksa mengeluarkan perbelanjaan RM900 sehari berbanding RM750 sehari sebelum ini,’’ katanya.

Seorang lagi pengusaha santan di Batu Gajah yang mahu dikenali sebagai Adee, pula berkata, beliau terpaksa menjual santan pada harga RM10 sekilogram memandangkan bekalan kelapa yang diperolehinya daripada pembekal dari Setiawan semakin bekurangan.

``Harga sebiji kelapa sekarang sudah naik RM1.80 sebiji berbanding RM1.55 sebelum ini dan bekalan kelapa pula semakin berkurangan," katanya.

Selain santan, beliau turut menjual kelapa parut pada harga RM8.00 sekilogram, kelapa putih RM9.00 sekilogram dan 380 gram santan pada harga RM3.00.

Sementara itu seorang pembeli santan, Yursi Hamleh , 46, yang ditemui berkata, disebabkan kenaikkan harga kelapa ketika ini beliau hanya mampu membeli 380 gram santan pada harga RM3.00

'`Santan yang saya beli ini hanya cukup untuk sekali masakan gulai kari ikan," ujarnya.

Beliau mencadangkan kerajaan campurtangan dalam isu kenaikkan harga kelapa dan kekurangan bekalan kelapa agar ia tidak terus membebankan rakyat.


1,274 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page