top of page
muinsapidin

Adik Rayu Kakak Pulang Ke Rumah

KUALA KANGSAR: Seorang adik merayu orang ramai membantu mencari kakaknya, Sharain Liyana Abd Rahim, 32 yang hilang sejak 16 Disember lalu di rumah keluarga mereka dekat Taman Puncak Bourgainvillea, Kuala Kangsar.

Shahir Hafreez Abd Rahim, 30, memberitahu misteri kehilangan kakak sulung daripada tiga beradik itu telah membuatkan seluruh ahli keluarga risau dan tertekan khususnya ibu mereka Nor Khalili Abd Halim, 58.

Menurutnya, kehilangan kakaknya yang bekerja sebagai kerani di sebuah firma guaman di Kuala Kangsar menimbulkan kebimbangan kerana dia tidak mempunyai masalah dengan keluarga dan menghilangkan diri begitu sahaja.

"Along tolong la pulang ke rumah, kami amat rindu dan bimbang pasal Along...kalau ada sesiapa tahu pasal kakak atau nampak apa-apa, tolong beritahu kami, kami merayu sangat," katanya kepada pemberita di Kuala Kangsar pada Ahad.

Shahir berkata, kakaknya itu dipercayai keluar daripada rumah keluarga mereka membawa telefon bimbit serta dompet sekitar jam 8 hingga 10 malam pada 16 Disember lalu dan sehingga kini tidak dapat dikesan.

"Pada waktu itu dia tinggal berdua dengan ibu saya yang sedang tidur kerana demam.

"Bila ibu saya bangun, Along sudah tiada. Hairannya, dia tidak membawa keretanya malah hanya membawa telefon dan dompet," ujarnya.

Tambah beliau, mustahil Sharain Liyana sengaja melarikan diri daripada keluarga kerana dia baru sahaja merancang untuk memulakan perniagaan menjahit dan telah pun membeli peralatan yang diperlukan.

"Saya juga telah melihat dalam akaun facebook miliknya tetapi tidak jumpa apa-apa yang pelik. Itu sebab kami merasa sangat pelik dengan kehilangannya.

"Tiada sebab untuk dia larikan diri kerana kehidupannya amat positif. Malah, dia juga menyimpan hasrat untuk memulakan perniagaannya sendiri," katanya.


222 views0 comments
bottom of page