top of page
muinsapidin

10 Pasangan Pengantin Dirai Dalam Resepsi Perkahwinan 1 Malaysia

IPOH: Sepuluh pasangan pengantin baru dari pelbagai kaum dan agama diraikan dalam Majlis Resepsi Perkahwinan 1 Malaysia di perkampungan Orang Asli Kg Kerawat, Simpang Pulai dekat sini pada Sabtu.

Majlis meraikan pasangan pengantin Orang Asli, Melayu, Cina dan India yang beragama Islam, Kristian, Budha dan Hindu itu dianjurkan Majlis Masyarakat Sivil (MMS), Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man berkata, program itu antara lain bertujuan membantu pasangan yang baru berkahwin mengadakan majlis keraian, seperti pasangan-pasangan yang lain.

“Secara tidak langsung ianya dapat membantu kekangan kos sara hidup bagi pasangan-pasangan yang terlibat,” katanya kepada pemberita pada majlis itu.

Hadir sama Setiausaha MBI, Mohd Zakuan Zakaria, Ketua Whip MMS MBI, Mohd Sani Kamarudin dan Tok Batin Ngah.

Zamri berkata, pasangan pengantin dipilih daripada sekitar Bandaraya Ipoh dan dibawa ke Kg Kerawat untuk diraikan di dalam majlis yang penuh warna warni, yang pasti menjadi kenangan kepada mereka.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan program itu, khususnya ahli-ahli MMS dan penduduk kampung, beliau tidak menolak kemungkinan untuk mengadakan program seumpama itu di tahun-tahun akan datang.

Sementara itu, pasangan pengantin yang ditemui mengakui teruja dengan majlis itu yang tidak mungkin dirasai jika mereka mengadakan secara berasingan bersama-sama keluarga dan sanak saudara.

Kamarul Rashid Amir dan isterinya, Enga Ayob dari Pos Raya berkata, program seumpama itu sangat bagus kerana mereka tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan yang banyak.

“Walaupun diadakan secara beramai-ramai, kami tetap rasa berdebar-debar dan tidak menyangka ia begitu meriah sekali,” ujar Enga.

Satian Kumar a/l Ramachandran dan isterinya, Ranuha Devi a/p Kanthasamy pula berpendapat, program seumpama itu perlu diadakan lebih banyak lagi di masa-masa akan datang.

“Baguslah program ini, dari segi ekonominya, kami tidak perlu berbelanja banyak berbanding jika kami hendak buat sendiri,” kata Satian Kumar.

Dalam program itu, pasangan pengantin diarak menaiki bas MBI dan diraikan di dalam majlis makan beradap selepas di tepung tawar oleh tetamu jemputan yang hadir.


115 views0 comments
bottom of page