top of page
  • muinsapidin

SPRM Diminta Siasat Pegawai Kastam Minta 'Duit Kopi'

Pemuda MCA Ipoh Barat menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempertingkatkan pengawasan dan pemantauan terhadap pegawai kastam di semua pintu masuk negara bagi memastikan tiada kejadian penyelewengan berlaku ketika mereka menjalankan tugas.

Ketua Pemuda Ipoh Barat MCA Aldrich Low berkata langkah tersebut perlu berikutan insiden seorang suri rumah, Tan Gay Seong, 47, mendakwa dikenakan cukai lima kali ganda daripada jumlah yang sepatutnya untuk dua produk kesihatan peribadi yang dibelinya dari Australia.

Katanya, mengikut Gay Seong, kejadian pada 18 Disember itu berlaku ketika dia ditahan oleh pegawai Kastam Johor dalam perjalanan pulang ke Ipoh dari Singapura melalui Lebuhraya Linkedua.

“Gay Seong membawa sebotol kapsul ubat berjenama Royal Jelly dan sebotol minyak ikan dari Australia, dia singgah di Singapura pada 7 disember dan pulang menaiki bas ke Malaysia selepas 11 hari di sana.

“Ketika dalam perjalan pulang itu pihak kastam telah menahannya dan memberitahu kedua-dua barang itu perlu dicaj cukai sebanyak 30 peratus iaitu bersamaan RM50 walaupun dia telah terangkan ianya adalah untuk kegunaan peribadi,” katanya dalam satu sidang media khas di Ipoh pada Khamis.

Tambah Low lagi, Gay Seong turut mendakwa pegawai kastam yang menahannya juga turut meminta “duit kopi” kepada mangsa sekiranya tidak mahu membayar cukai berkenaan

“Menurut Gay Seong pegawai kastam itu memberitahu kalau nak kurangkan caj itu atau mempercepatkan proses mangsa boleh buat 'rayuan khas' seolah-olah seperti membayar 'duit kopi' kepada mereka.

“Namun mangsa enggan berbuat demikian dan minta juga resit bayaran RM50 yang telah dibuat dan disebabkan itu pegawai kastam itu telah membiarkan Gay Seong menunggu selama setengah jam sehinggakan hampir tertinggal bas ke Ipoh,” jelas Low.

Katanya Low lagi, namun bagi seorang lagi individu dibelakang Gay Seong ketika kejadian telah memilih untuk membayar wang “rayuan khas” dan dibenarkan meninggalkan tempat itu kurang daripada lima minit.

“Saya juga telah menghubungi pihak kastam bertanyakan mengenai cukai tersebut, rupa-rupanya cukai itu hanya 6 peratus sahaja dan bukan 30 peratus.

“Saya harap SPRM melihat perkara ini dengan serius kerana ianya mungkin telah berlaku banyak kali sebelum ini,” ujarnya.


33 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page