top of page
  • muinsapidin

Orang Asli Dapat Gantirugi RM37 Juta

IPOH: Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini (Khamis) memerintahkan Masyarakat Orang Asli dari suku kaum Jakun dibayar ganti rugi RM37 juta setelah wang pampasan yang mereka terima pada tahun 2000 disalah guna.

Hakim Datuk Samsudin Hassan berkata, jumlah tersebut termasuk kos RM5 juta bagi ganti rugi teladan dan RM1 juta bagi kos yang perlu dibayar oleh defendan kepada 78 plaintif dan kepada mahkamah yang dilantik sebagai Penerima dan Pengurus.

Samsudin dalam penghakimannya berkata, defendan iaitu bekas peguam S. Kanawagi, anaknya Dinesh serta dua Tok Batin iaitu Tok Adong Kuwau dan Daud Kadir (telah meninggal dunia) dan firma guaman Khana & Co telah menyalahgunakan wang pampasan milik plaintif berjumlah RM20.7 juta.

"Defendan tidak jujur, mereka melambatkan perkara itu dengan menolak untuk bekerjasama dalam menyediakan dokumen dan mereka juga enggan memberikan maklumat yang berkaitan dengan wang pampasan kepada waris dan peguam mereka," katanya.

Tambah Samsudin, siasatan terperinci mendapati defendan telah menggunakan sebahagian daripada wang amanah untuk membeli 27 pangsapuri di bawah nama Kanawagi di Kuala Lumpur.

"Wang sewa dari 27 pangsapuri kemudian digunakan untuk membeli 30 pangsapuri di bawah nama Dinesh. Bagaimanapun 27 pangsapuri dan 30 unit pangsapuri itu perlu diserahkan kembali kepada amanah itu.

"Jika defendan enggan memindahkan unit, pendaftar mahkamah boleh menandatangani dokumen bagi pihak," katanya.

Pada 5 Jun 2000 Mahkamah Tinggi Johor Baru mengarahkan kerajaan negeri Johor untuk membayar jumlah RM38,554,111.92 sebagai pampasan kepada Orang Asli untuk tanah mereka yang diperolehi oleh kerajaan negeri itu bagi pembinaan Empangan Linggiu.

Mahkamah itu juga memerintahkan jumlah penghakiman tersebut dinyatakan dalam dua cara, di mana RM22,000,000 akan dipegang di bawah amanah itu, dan RM16,554,111.92 diserahkan kepada firma undang-undang yang akan dibayar kepada Orang Asli selepas ditolak yuran guaman, kos dan perbelanjaan yang ditanggung.

Perintah itu juga menyatakan bahawa jumlah wang itu diserahkan kepada Khana & Co untuk dibayar kepada Orang Asli selepas ditolak semua fi, kos, yuran perundingan undang-undang dan perbelanjaan yang ditanggung untuk tujuan saman ini.

Bagaimanapun, plaintif tidak menyedari penghakiman itu sehingga tahun 2004 di mana mereka cuba untuk mendapatkan wang pampasan dari defendan.


539 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page