IPOH: Beberapa buah kampung di sekitar Manjoi, di sini dilanda banjir kilat selepas hujan lebat turun hampir dua jam pada petang Khamis.
Bagaimanapun, menurut jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak, setakat jam 6 petang, belum ada pusat pemindahan yang dibuka.
Menurutnya, kerja-kerja pemantauan sedang dilakukan oleh beberapa pihak, termasuk bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Berdasarkan maklumat yang diterima, air dikatakan naik sehingga paras lutut di beberapa buah kampung seperti Kg Dato’ Ahmad Said Tambahan 2 dan Jelapang.