IPOH: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Maju Perak, Datuk Mansor Ahmad cedera parah di kepala manakala isterinya cedera di tapak tangan selepas ditetak oleh enam penyamun di hadapan rumah mereka dekat Meru Heights, Ipoh pada petang Khamis.
Dalam kejadian jam 3.35 petang itu, suami isteri itu sedang bersiap untuk meninggalkan rumah mereka sebelum diserbu enam lelaki bermotosikal dan bersenjatakan parang.
Menurut anak mangsa, Raimi Mansor, ketika kejadian kedua ibu bapanya itu sedang dalam perjalanan memasuki kereta untuk ke hospital untuk melihat adik perempuannya yang baru melahirkan anak.
“Ketika mereka mahu membuka pagar tiba-tiba enam lelaki tersebut meluru masuk ke dalam rumah dan mula menghayunkan parang.
“Dua daripada mereka memasuki rumah yang ketika itu di dalamnya ada adik saya dan anak saudara saya berumur tiga tahun...mereka ambil emas ibu saya dan juga telefon adik saya itu.
“Ibu saya pula tendon tapak tangannya terputus akibat menepis hayunan parang salah seorang daripada penyamun bagi melindungi anak saudara saya umur tiga tahun itu,” katanya ketika ditemui di pekarangan Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh pada Khamis.
Katanya lagi, ketika kejadian beliau berada di Kuala Lumpur dan menurut adiknya yang berada di dalam rumah berkenaan, kejadian tersebut berlaku dengan pantas.
Tambah beliau kedua-dua ibu bapanya ketika ini sedang menerima rawatan di hospital berkenaan.
Sementara itu Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh Supt Abdul Rani Alias ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.