top of page
  • muinsapidin

Selepas Pos Kemar, Satu Lagi Penempatan Orang Asli Dijangkiti Malaria

IPOH: Selepas Pos Kemar di Gerik, wabak penyakit malaria telah dikesan di satu lagi kawasan penempatan Orang Asli di Sungai Siput.

Dalam kes terbaru, enam Orang Asli di Pos Poi disahkan positif malaria ‎namun jangkitan malaria di Pos Poi dikatakan tiada kaitan dengan penularan wabak itu di penempatan Pos Kemar, Gerik.‎

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Juita Ghazali mengesahkan jangkitan malaria yang dikesan di penempatan Pos Poi Sungai Siput tetapi menafikan ianya ada kaitan dengan Pos Kemar.

Beliau turut menafikan khabar angin yang mendakwa salah seorang daripada pesakit di Pos Kemar telah membawa virus Malaria berkenaan ke Pos Poi.

"Enam Orang Asli di Pos Poi telah disahkan positif malaria sejak 9 Disember. Namun ia bukan jangkitan dari Pos Kemar kerana hasil ujian mendapati jangkitan di Poi Poi adalah dari parasit Plasmodium Falciparum, berbeza dengan malaria di Pos Kemar iaitu parasit P Vivax.

"Justeru, kedua-dua kes Malaria ini tidak mempunyai sebarang kaitan antara satu sama lain, seperti yang diuar-uarkan oleh pihak tertentu,”katanya kepada Suara Perak .

Katanya, kesemua enam pesakit Orang Asli yang dijangkiti itu berusia di antara 1 hingga 31 tahun$

"Keadaan mereka dilaporkan stabil dan sedang mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Siput," katanya.

Wabak malaria mula dikesan apabila Kementerian Kesihatan mengesahkan 41 ‎Orang Asli di penempatan Pos Kemar yang terletak di pendalaman Hutan Royal Belum di Gerik positif malaria pada 21 November.

Angka kes malaria di kalangan Orang Asli‎ di penempatan itu terus meningkat sehingga hari ini.

Sehingga semalam, sebanyak 10 kes terbaru termasuk enam di Pos Poi Sungai Siput dilaporkan menjadikan jumlah dijangkiti setakat ini adalah 136 berbanding 126 pada 16 Disember.


33 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page