SUNGAI SIPUT: Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Perak sentiasa memantau perkembangan kes malaria di kalangan Orang Asli di negeri ini bagi memastikan mereka yang disahkan positif dihantar menjalani rawatan.
Pengarah JAKOA Negeri Perak, Hairulnizam Abdul Rahman berkata, mereka juga akan memastikan mereka yang telah disahkan bebas virus itu dihantar balik ke perkampungan masing-masing.
"Selain itu, kami juga memastikan mereka yang masih di bawah pemantauan akan ditempatkan di pusat penempatan sementara contohnya Asrama Seri Didik di Gerik," katanya ketika dihubungi Suara Perak di sini pada Rabu.
Menurutnya, penjagaan kebajikan masyarakat Orang Asli yang dijangkiti wabak berkenaan adalah kolaborasi bersama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) yang dilengkapi dengan rawatan dan fasiliti perubatan mereka.
Ketika ditanya mengenai penjagaan kesihatan kaum Orang Asli, Hairulnizam menjelaskan bahawa pihaknya bertanggungjawab untuk membantu untuk memindahkan kesemua Orang Asli di sekitar Pos Poi dan Pos Kemar yang disahkan positif Malaria bagi rawatan selanjutnya.
"Bagi JAKOA, tugas utama kami adalah untuk memastikan semua pesakit yang disahkan positif malaria dapat dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut, begitu juga apabila mereka disahkan bebas virus berkenaan, pengangkutan balik akan disediakan oleh kami,” ujarnya ketika diminta mengulas enam kes terbaharu yang disahkan positif malaria di Pos Poi baru-baru ini.
Sebelum itu, kes malaria dilaporkan berlaku di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Pos Kemar.
Hairulnizam memberitahu, seramai empat orang masih ditempatkan di Hospital Kuala Kangsar bagi rawatan wabak berkenaan manakala tujuh masih lagi di bawah pemantauan di Hospital Gerik sehingga petang Rabu.
Katanya, kesemua 23 orang Asli daripada RPS Pos Kemar yang ditempatkan di Asrama Seri Didik, Gerik sejak 9 Disember lepas juga telah dibenarkan pulang pada pagi Rabu setelah disahkan bebas daripada wabak berkenaan.
Mengenai kebarangkalian kaitan virus tersebut di antara kawasan Orang Asli, Hairulnizam berkata, pihaknya tidak mempunyai maklumat tepat dan sebarang siasatan berkenaan wabak berkenaan dikendalikan sepenuhnya oleh Jabatan Kesihatan Negeri.
"Setahu saya, taklimat awal bersama JKN Perak mendapati memang terdapat kemungkinan habitat asal pembiakan nyamuk dan virus Malaria di sekitar kawasan penempatan Orang Asli di RPS Pos Kemar namun bagi Pos Poi, saya tidak berapa pasti," katanya lagi.
Jelasnya, pihak JAKOA juga sentiasa berulang-alik ke RPS Pos Kemar untuk mengagihkan makanan kering kepada keluarga yang terlibat dengan penyakit virus P Vivax tersebut bagi memastikan bekalan mereka mencukupi.
Menurut beliau, pihak JAKOA juga mempunyai sebuah Pusat Pentadbiran Kecil RPS Pos Kemar yang berfungsi sebagai pusat untuk menguruskan sebarang hal melibatkan kebajikan Orang Asli di sekitar penempatan yang melibatkan sembilan buah kampung itu.
"Kebanyakan mereka yang disahkan mengidap malaria masih lemah dan tidak dapat keluar bekerja, justeru apa yang kami boleh bantu adalah memberikan mereka bekalan makanan kering dan sentiasa bekerjasama dengan JKN untuk memberi advokasi penjagaan kebersihan dan kesihatan masing-masing.
"Kalau ikut pandangan saya, cara-cara membendung wabak ini telah dilakukan secara sepenuhnya dan tindakan tersebut dilaksanakan oleh JKN sendiri, apa yang kami boleh bantu adalah dari segi logistik, pengangkutan dan memastikan proses rawatan mereka berjalan lancar," katanya lagi.
Tambah beliau, pihaknya akan memastikan kesemua Orang Asli yang terlibat dalam wabak malaria sejak November lepas diiringi dengan pegawai JAKOA untuk mendapatkan rawatan sebaiknya kerana kepakaran dan fasiliti perubatan adalah bergantung kepada JKN sendiri.