top of page
  • muinsapidin

Kontraktor Kelas F Bantah Penganugerahan Projek MARRIS Kepada Syarikat Konsesi

Persatuan Kontraktor Bumiputer Kelas F (PERKOBF) Malaysia hari ini mengadakan perhimpunan aman di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) bagi mendesak kerajaan negeri supaya tidak menganugerahkan projek-projek kecil di bawah Sisterm Maklumat Rekod Jalan Raya (MARRIS) kepada satu syarikat konsesi.

Perhimpunan aman yang berlangsung lebih setengah jam itu menuntut supaya kerajaan negeri mengekalkan kaedah tender terbuka yang diamalkan bagi kontraktor mendapatkan kerja di bawah MARRIS.

Presidennya, Tukiman Radion berkata jika kerajaan negeri tetap meneruskan rancangan memberi projek itu kepada satu syarikat konsensi ia bakal menutup periuk nasi 2,546 kontraktor kelas F bumiputera di Perak.

“Kita mendapat maklumat kerajaan negeri sedang dalam perancangan untuk memberi projek bernilai puluhan juta ringgit di bawah MARRIS melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kepada syarikat konsesi.

“Kita minta untuk cadangan itu dibatalkan, jangan teruskan sekiranya kerajaan negeri betul-betul prihatin terhadap rakyat Perak ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media khas di Ipoh pada Rabu.

Katanya, cadangan itu sekaligus melenyapkan harapan kontraktor-kontraktor kecil untuk mendapat projek dibawah MARRIS yang sebelum ini memang menjadi punca rezeki mereka.

“Kontraktor kecil ini memang harapkan sangat projek-projek dari MARRIS, itu sahaja periuk nasi kami sejak dari dahulu lagi, sekiranya diserahkan kepada syarikat konsesi kami kontraktor kecil ini nak cari makan macam mana?

“Antara kerja-kerja yang terdapat dibawah projek itu adalah menaiktaraf jalan raya kampung dan desa, memotong rumput dan membersihkan parit disepanjang jalan-jalan, itu sahaja…bukannya projek besar sangat….kenapa itu pun nak diambil..,” ujarnya.

Beliau memberitahu dengan menyerahkan projek MARRIS kepada syarikat konsesi tersebut, kontraktor Kelas F seolah-olah ditekan.

“Contohnya sebelum ini Kontraktor Kelas F dibayar RM31 bagi kerja membina atau menyelenggara 50mm jalan tetapi di bawah syarikat konsesi itu nanti bayaran yang diterima kontraktor hanya RM19,” katanya.

Katanya persatuan telah menghantar satu memorandum membantah cadangan itu kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Dalam perhimpunan aman itu lebih 70 ahli PERKOBF telah berkumpul di hadapan SUK untuk menghantar memorandum membantah cadangan berkenaan dan ianya telah diserahkan kepada pegawai khas Menteri Besar, Datuk Dr. Azizah Johor.

Sebelum itu, kumpulan sama telah berhimpun di hadapan pejabat Jabatan Pengairan dan Saliran di Jalan Bukit Gantang Wahab untuk meminta penjelasan mengenai perkara sama.


573 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page