top of page
  • muinsapidin

Adakan Mesyuarat Penyelarasan Atasi Masalah Pesawah - Tajudin

BAGAN SERAI: Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajudin Abdul Rahman mencadangkan supaya diadakan mesyuarat penyelarasan di antara pegawai kerajaan dengan petani agar kepentingan dan kebajikan kaum tani di negara ini terus dijaga.

Beliau berkata, mesyuarat penyelarasan itu dicadangkan supaya diadakan lebih kerap untuk mendengar rintihan dan permasalahan kaum tani serta mencari jalan segera untuk mengatasinya.

Menurut Tajudin, beliau meminta semua pegawai kerajaan yang mewakili agensi berkaitan pertanian seperti Jabatan Pertanian dan BERNAS mengadakan mesyuarat penyelarasan bersama petani termasuk wakil-wakil Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

“Petani ramai, tidak mungkin hendak berjumpa dengan semua pegawai kerajaan, tetapi boleh diadakan satu mesyuarat penyelarasan dengan wakil-wakil petani.

“Siapa dia wakil petani, Pertubuhan Peladang Kawasan, ahli-ahli lembaga pengarah PPK yang menjadi pemimpin atau pun mewakili kepentingan dan kebajikan petani patut duduk dengan pihak jabatan kerajaan seperti IADA , Jabatan Pertanian dan juga BERNAS supaya ada penyelarasan bagi memantau pembangunan infrastruktur dan tanaman petani agar ianya sentiasa terjaga dan terpelihara daripada penyakit,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan bersama pesawah IADAK kerian, di Dewan PPK Bagan Tiiang dekat sini pada Rabu.

Perjumpaan itu diadakan susulan lebih 500 pesawah di sekitar Kerian mengadakan demonstrasi aman membantah kadar pemutuan padi terlalu tinggi sehingga menjejaskan hasil pendapatan mereka, baru-baru ini.

Petani membantah kerana pemutuan padi sekitar 26 hingga 30 peratus adalah yang tertinggi dan pertama kali berlaku di Kerian, berbanding kadar pemutuan hanya pada sekitar 21 hingga 23 peratus yang dikenakan sebelum itu.

Malah, terdapat sebahagian pesawah menerima nasib lebih malang apabila kadar pemutuan padi dikenakan pengilang sekitar daerah Kerian sehingga mencecah 70 peratus.

Tajudin meminta para petani dan pemimpin PPK supaya mengambil langkah proaktif dengan mengadakan pemantauan lebih kerap terhadap tanaman padi yang mereka usahakan agar hasilnya bukan sahaja meningkat malah bermutu.


23 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page