top of page
muinsapidin

Tipu Lelong Tanah PPPNP Di Laman Web Terkenal

IPOH: Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) mengesan perbuatan tidak bertanggungjawab yang mengiklankan penjualan tanah milik kumpulan itu di sebuah laman web popular sejak sebulan lalu.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, tanah seluas 2,023 hektar (5,000 ekar) di Mukim Lenggong itu sebenarnya dibeli oleh PPPNP daripada Majuperak Holdings Berhad untuk tujuan perladangan kelapa sawit.

Mengikut iklan yang disiarkan, harga tanah yang ditawarkan ialah RM12,000 seekar atau RM60 juta untuk 5,000 ekar.

Dr Zambry hairan bagaimana sebuah laman web yang menjadi rujukan boleh mengeluarkan iklan seumpama itu, tanpa merujuk kepada pihak perbadanan pertanian terlebih dahulu.

Beliau percaya perbuatan itu dilakukan oleh satu sindiket yang tidak bertanggungjawab dan pihak perbadanan pertanian telahpun membuat laporan polis mengenainya.

“Kita mengharapkan dengan laporan itu akan dapat menyiasat mereka yang berada di belakangnya, termasuk laman web berkenaan yang bertanggungjawab mengeluarkan iklan berkaitan dengan lelongan itu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengarah PPPNP di sini pada Isnin.

Sambil mengifatkan ia sangat mendukacitakan, Menteri Besar menegaskan, kerajaan negeri memandang serius perkara seumpama itu dan tidak akan membiarkannya begitu sahaja.

“Sepertimana yang saya sering bangkitkan, isu berkaitan sindiket-sindiket yang tidak bertanggungjawab dengan menggunakan pelbagai cara untuk mengaburi mata rakyat, menjual tanah-tanah kerajaan negeri secara haram,” ujarnya.

Dr Zambry berkata, pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab itu sesuka hati meneroka tanah-tanah kerajaan dan kemudiannya dijual secara lot-lot yang telah dipecah-pecahkan.

“Umpamanya, mereka teroka tanah kemudiannya dipecahkan kepada tiga ekar, lima ekar, dia jual lima ribu, sepuluh ribu, seolah-olah negeri Perak tidak ada langsung peraturan, siapa suka buka, lepas tu jual.

“Kerajaan akan terus memburu mereka ini dan kita tidak akan teragak-agak untuk meminta kepada pihak yang bertanggungjawab untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan ini.

“Kita tidak akan tutup kes-kes seperti ini,” tegas beliau.

Beliau mengulangi nasihat kepada orang ramai, termasuk kakitangan awam dan mereka yang berpangkat tinggi, supaya jangan mudah tertipu dengan sindiket seumpama itu.

“Kalau kita benarkan perkara seperti itu, ini bermakna negeri Perak dah tiada undang-undang, dia akan jadi negeri koboi, di mana siapa ada kuasa dan kekuatan, dia boleh buat apa sahaja yang dia suka...tak bolehlah.

“Kerajaan negeri pernah mengambil tindakan terhadap mereka ini tetapi nampaknya apa yang kita buat, ada yang tidak serik, mereka seolah-olah terus mencabar kerajaan negeri,” tambahnya.


150 views0 comments
bottom of page