BANGKOK: Dua pembawa dadah warga Malaysia beranggapan mereka boleh mengangkut 'barang' dengan selamat dari Bangkok ke Hatyai tanpa dikesan, jika mereka melakukan urusan itu pada awal pagi. Dua suspek yang berusia 44 dan 46 tahun itu menyangkakan melakukan aktiviti haram mereka pada awal pagi (11 Dis) adalah paling selamat kerana mereka percaya polis Thailand kepenatan selepas bertugas pada waktu yang panjang pada sebelah malam, sehubungan itu tidak akan memeriksa kenderaan mereka.
"Mereka percaya memulakan perjalanan pada awal pagi, akan memudahkan mereka tiba ke destinasi, Hatyai kerana pihak berkuasa yang bertugas di pusat pemeriksaan (di laluan itu) akan kepenatan selepas bekerja dalam tempoh yang lama. "Tetapi mereka menggelabah selepas kereta mereka diberhentikan di pusat pemeriksaan di Chumpon kira-kira 8 pagi 11 Dis, selepas memandu berjam-jam dari Bangkok, hingga disedari pihak berkuasa," kata Pemangku Ketua Bahagian Pencegahan Narkotik Mej Jen Dusadee Choosankij kepada Bernama. Selepas pemeriksaan lanjut ke atas kereta itu, pihak berkuasa menemukan 140 bar heroin seberat 52.4kg dan 41kg kristal methamphetamine yang bernilai jutaan dolar, yang disorok di bahagian belakang, petak pembesar suara kereta itu, katanya. Kedua-dua warga Malaysia itu ditahan di Chumphon, selatan Thailand, iaitu beberapa jam sahaja untuk tiba ke destinasi mereka, Hatyai, kata Dusadee dan menambah suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut. Katanya mereka akan didakwa dan jika didapati bersalah akan berdepan hukuman penjara seumur hidup. Menurut Dusadee, kedua-dua suspek diarah membawa dadah itu kepada individu atau orang yang tidak dikenali di Hatyai, yang kemudian akan membawa bungkusan itu melepasi sempadan ke Pulau Pinang. Beliau juga mendedahkan ketika ditahan, kedua-dua suspek masih lagi menerima panggilan telefon daripada anggota sindiket yang mahu mendapatkan maklumat lanjut mengenai dadah itu. "Kami telah memeriksa nombor telefon mereka dan panggilan itu dibuat dari Pulau Pinang," katanya. Dusadee berkata sebaik mengetahui suspek telah ditahan dan usaha mereka untuk membawa masuk dadah itu ke sempadan gagal, anggota sindiket telah menghantar gambar yang mengerikan kepada kedua-dua suspek."Mereka (anggota sindiket) menghantar gambar rakan suspek yang dipukul dan diseksa di Malaysia untuk menunjukkan kepada mereka inilah padahnya (dipukul) kerana gagal melaksanakan misi itu," katanya. Beliau juga berkata dadah yang dirampas itu dibungkus dengan rapi dan kemungkinan besar ia akan dieksport semula ke sebuah negara ketiga selepas tiba di Pulau Pinang. -- BERNAMA