top of page
muinsapidin

Polis Wajib Jalani Pemeriksaan Kesihatan Setahun Sekali

TELUK INTAN: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan pihak pengurusan PDRM supaya mewajibkan semua pegawai dan anggotanya menjalani pemeriksaan saringan kesihatan setahun sekali.

Beliau berkata, pemeriksaan saringan kesihatan itu akan dijalankan dalam masa terdekat selepas pekeliling baru dikeluarkan bagi mewajibkan semua pegawai dan anggota PDRM menjalani ujian saringan kesihatan itu setahun sekali.

Menurut Zahid, beliau akan meminta Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk membuat pekeliling baru berhubung perkara itu dalam masa terdekat ini.

``Saya ingin mengesahkan bahawa saringan kesihatan diwajibkan untuk dilakukan setahun sekali dan arahan saya mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang baru ianya digalakkan enam bulan sekali .’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Skim Subsidi dan Bantuan Saringan Kesihatan PDRM Seluruh Negara di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak di Teluk Intan pada Sabtu.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Perak, DCP Datuk Hasnan Hassan dan Ahli Parlimen Teluk Intan, Datuk Seri Mah Siew Keong.

Terdahulu dalam ucapannya, Zahid beliau berkata, secara perbandingan polis diberikan pertanggungjawaban bertugas 24 jam dan apabila tugas dilaksanakan oleh pegawai serta anggota, maka ia menjadi bebanan bukan sahaja berisiko kepada kesihatan secara fizikal tetapi kesihatan dari segi spiritual.

``Kedua-kedua aspek kesihatan ini harus diambil kepedulian oleh PDRM dan warga polis keseluruhannya.

``Kalau kita tidak sihat badan secara fizikal apatahlah secara kerohaniah juga tidak sihat, maka daya pemikiran, daya juang, daya tahan, daya saing kita akan berkurang maka atas sifat kepedulian ini untuk menjaga kesihatan lahir dan batin, inilah yang kita mahu supaya kepedulian terhadap kesihatan pegawai dan anggota polis serta ahli keluarga mesti diberikan keutamaan,’’ katanya.

Skim Subsidi dan Bantuan Saringan Kesihatan PDRM ini merupakan program tanggungjawab sosial Syarikat Saujana Medicare.


44 views0 comments
bottom of page