KUALA LUMPUR: Pada 13 Dis lalu, Sultan Muhammad V melafaz sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong XV dan pada usia 47 tahun baginda adalah sultan termuda dalam kalangan Raja-raja Melayu ketika ini. Dalam melaksanakan tugasnya baginda akan dibantu oleh timbalannya Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, yang berumur 60 tahun.
Walaupun mereka daripada generasi berlainan, masing-masing terkenal dengan karisma kepimpinan yang tersendiri selain komitmen baginda berdua terhadap rakyat. Gambar Sultan Muhammad V berkopiah, berjubah dan bercapal untuk solat di masjid di Kota Bahru, Kelantan pernah menjadi tular (viral) satu ketika dahulu. Sehingga hari ini gambar itu masih mendapat ranking tinggi carian di Google. Titah-titah bernas Sultan Nazrin pula sentiasa mendapat perhatian media massa baik tempatan mahupun antarabangsa meskipun baginda berucap dalam acara di negerinya sendiri, Perak Darul Ridzuan.
GANDINGAN TEPAT Penganalisis politik Dr Chandra Muzaffar bependapat perlantikan gandingan ini adalah tepat dan sesuai dengan keadaan semasa. "Yang di-Pertuan Agong yang dekat dengan rakyat jelata serta Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang prihatin terhadap nilai integriti dan sifat amanah para pemimpin amat tepat pada waktunya," ulas Chandra. Dengan populasi besar golongan muda di negara ini, Chandra berkata Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong mampu memahami perasaan dan aspirasi anak-anak muda hari ini. "Baginda Sultan Muhammad V rapat dengan rakyat dan suka bergaul dengan golongan biasa. Baginda juga selalu ke masjid, ada masanya baginda mengimamkan solat. Soal agama amat dekat di hati baginda. Ini menjadikan baginda dekat di hati rakyat di peringkat akar umbi," jelas Chandra. Dalam keadaan masyarakat yang terhimpit dengan isu seperti peningkatan kos sara hidup, Chandra berkata luahan keperitan hidup rakyat yang dilihat sendiri Tuanku boleh disampaikan melalui nasihat kepada badan eksekutif pemerintahan negara. Perlantikan Sultan Nazrin juga dilihat Chandra sebagai 'melengkapkan' gandingan ini. Sultan Nazrin sememangnya diketahui umum mengambil berat tentang pemeliharaan amanah dan integriti golongan pemerintah. Terbaharu, Sultan Nazrin melahirkan rasa bimbang baginda terhadap gejala rasuah dan pecah amanah yang dilakukan secara terbuka oleh golongan berjawatan dan berpendidikan tinggi.
PENDIDIKAN TINGGI Satu lagi perkara menarik tentang kedua-dua sultan ini adalah latar belakang pendidikan tinggi baginda berdua yang membanggakan. Sultan Muhammad V dan Sultan Nazrin mendapat pendidikan tinggi di Universiti Oxford. Tamat pengajian di Kolej St. Cross dan Centre for Islamic Studies di Oxford, Sultan Muhammad V meneruskan pengajian di Deutsche Stiflung Entwicking, Berlin dan seterusnya di European Business School di London. Sultan Nazrin pula setelah menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam Falsafah, Politik dan Ekonomi di Oxford sebelum meneruskan pengajian di Universiti Harvard. Di sana, baginda dianugerah ijazah sarjana dalam pentadbiran awam dan kemudiannya meneruskan pengajian ke peringkat doktor falsafah (PhD) dalam Ekonomi Politik dan Kerajaan. Baginda turut menerima ijazah kehormat sebagai Honorary Fellow yang dianugerahkan oleh Worcester College, Oxford pada Okt 2013. KRITERIA PEMIMPIN Bagi Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz, kebolehupayaan intelektual kedua-dua baginda sultan adalah satu kelebihan buat baginda berdua untuk menghalusi isu-isu semasa yang melanda negara. "Dalam keadaan semasa hari ini, ketua negara memang memerlukan asas pendidikan yang tinggi untuk membuat keputusan yang bijaksana," kata Felo Utama Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) itu. Menurut beliau, asas pendidikan yang utuh juga boleh membantu Sultan Muhammad V yang pengalamannya sebagai pemerintah masih baru berbanding sultan atau raja dari negeri-negeri lain. Pun begitu, baginda mempuyai pengalaman sebagai Tengku Mahkota Kelantan dan sebagai Pemangku Raja yang juga landasan bagi baginda mentadbir negeri. Umum mengetahui Sultan Muhammad V dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan pada 2010. Setahun sebelum itu baginda dilantik sebagai Pemangku Raja. Lebih awal daripada itu, baginda dilantik sebagai waris berhak dengan gelaran Tengku Mahkota pada Mac 1979 dan kemudiannya ditabal pada Oktober 1985. Sejak 2011 baginda memikul tugas sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong ke-14 sehingga dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-15.
MAHIR DALAM HAL PENTADBIRAN Berkenaan Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin, Shamrahayu berkata kebijaksanaan baginda menampilkan sejarah negara dan sifat-sifat negara dalam pembentukan Tanah Melayu terbukti dalam banyak titah-titah baginda yang selalu diraikan rakyat jelata. "Pengetahuan baginda berkaitan hal ketatanegaraan, sejarah, sistem perundangan, kehakiman, hak asasi manusia, ekonomi dan penyatuan bangsa merangkumi segala aspek pentadbiran negara membuktikan baginda amat mengetahui sistem pentadbiran negara," "Corak fikir baginda seumpama kombinasi global dan tempatan dan kombinasi generasi muda dan tua, menjadikan baginda pemerintah yang disegani," ulas beliau. PERADABAN MALAYSIA Chandra dan Shamrahayu yakin bahawa gandingan baginda berdua ini mampu membawa negara ke satu tahap yang lebih tinggi. Chandra amat ingin melihat gandingan ini melakukan sesuatu bagi negara melalui nasihat dan teguran terhadap isu-isu yang melanda negara. Tambah Chandra, sistem raja berperlembagaan yang diamalkan negara sejak merdeka memberikan ruang kepada Seri Paduka berdua untuk bertindak sesuai dengan peruntukan kuasa yang tertera dalam perlembagaan negara. Shamrahayu pula berharap institusi raja boleh menjadi wadah penting dalam keadaan politik semasa demi masa depan lebih baik bagi rakyat dan negara. -- Bernama