top of page
muinsapidin

42 Pasangan Diraikan Dengan Adat Tradisi Perkahwinan Melayu

Meraikan sepasang pengantin baharu sudah cukup menceriakan suasana, apatah lagi apabila meraikan majlis perkahwinan yang melibatkan 42 pasangan dalam satu masa.

Program Majlis Perkahwinan Beramai-Ramai anjuran Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong yang julung kali diadakan menyaksikan kesemua pasangan pengantin diberi penajaan percuma dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.

Lebih istimewa, disamping meraikan kesemua pasangan, majlis ini bertujuan menghidupkan kembali budaya dan adat Melayu yang semakin dilupakan.

Menurut Ahli Parlimen Lenggong Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, konsep majlis kahwin secara percuma ini dibuat atas keprihatinan untuk membantu golongan kurang berkemampuan khususnya anak muda melangsungkan perkahwinan.

“Idea untuk adakan majlis ini timbul apabila ramai anak muda yang datang bertemu dengan saya dan minta program sebegini dibuat.

“Apabila ada permintaan sedemikian, ia bukan sahaja dapat membantu rakyat setempat bahkan menjadi satu kenduri rakyat yang mana program ini mampu menjadi tambahan produk pelancongan kerana ia mengetengahkan budaya Melayu dalam acara perkahwinan.

Ia melibatkan kerjasama ramai pihak termasuk Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, Majlis Pelancongan Lenggong, Jabatan Perdana Menteri dan semua masyarakat di Lenggong,” kata Shamsul.

Beliau berkata demikian di Majlis Perkahwinan Beramai-Ramai 2016 Parlimen Lenggong di Dataran Lenggong, Lenggong pada Sabtu.

Hadir sama, isteri YAB Menteri Besar Perak, Datin Seri Saripah Zulkifli selain kehadiran ibu bapa dan sanak saudara kepada 42 pasangan pengantin.

Tambah menarik apabila kesemua juadah dan lauk pauk yang dihidangkan di majlis itu disediakan secara gotong-royong oleh penduduk dari 26 buah kampung sekitar parlimen Lenggong.

Jelas Shamsul majlis ini bakal dijadikan acara tahunan dengan membuat beberapa pembaharuan dan konsep yang lebih menarik.

“Tahun hadapan kita akan buat konsep rewang yang lebih tradisional yang saya percaya dapat rapatkan hubungan tak kira latar belakang,” katanya.

Hadirin dan pasangan pengantin turut dihiburkan dengan pencak silat, paluan kompang, bentara yang lengkap berpakaian hulubalang tradisional dan persembahan dari artis terkenal Nash.

Kesemua pasangan pengantin itu diarak menggunakan bas pelancongan bertingkat dan motosikal berkuasa besar.

Sementara itu, warga Australia Muhammad Ashraf Hughes,53, merasa amat teruja diraikan bersama pasangannya Hidayah Adnan, 29, dalam satu majlis yang besar dan meriah itu.

Ahli perniagaan itu berpendapat majlis sedemikian amat baik dan wajar diteruskan.

“Ia pengalaman yang sangat hebat dan mengujakan untuk diraikan di majlis seperti ini bersama isteri, baik dari segi pakaian, makanan dan lain-lain semua serba lengkap disediakan untuk kami,” kata Muhammad Ashraf yang turut dipersetujui isterinya Hidayah yang berasal dari Lenggong.

Pendaftaran bagi majlis perkahwinan ini bermula sejak setahun yang lepas dengan syarat salah seorang dari pasangan hendaklah berasal dari parlimen Lenggong.


151 views0 comments
bottom of page