top of page
muinsapidin

Jelajah Solo Dengan Motosikal Klasik

IPOH: Mengelilingi 12 buah negeri di Semenanjung Malaysia secara solo dengan menaiki motosikal klasik keluaran 1974, sudah cukup untuk membayangkan kesukaran yang bakal dilalui.

Namun, bagi Hishamuddin Md Rashid, 45, atau lebih popular dengan gelaran Kojeq, tidak mahu memikirkan itu semua.

Beliau menganggap perjalanan sejauh 2,187 kilometer yang dijangka memakan masa kira-kira 17 hari itu adalah sebagai sumbangannya untuk mempromosi Perak sempena Tahun Melawat Perak 2017.

Menurutnya, beliau mengambil masa selama empat bulan untuk mempersiapkan diri khususnya mental dan fizikal.

“Misi solo ini tercetus selepas saya berjaya menamatkan Jelajah Perak sejauh 860 kilometer sempena Hari Kebangsaan tahun ini selama seminggu.

“Saya mengambil masa empat bulan untuk kertas kerja dan selama tiga hari saya menjelajah semenanjung menaiki kereta untuk mengenal pasti laluan perjalanan yang perlu ditempuhi,” katanya ketika ditemui sewaktu acara pelepasan di Angsana Mall yang disempurnakan Setiausaha Politik Menteri Besar Perak, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie.

Hishamuddin berkata, misi solo dijangka berakhir pada 31 Disember ini di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

“Tarikh saya tiba itu juga bersamaan dengan pelancaran Tahun Melawat Perak 2017,” katanya.

Beliau berkata, meskipun mengakui bakal menempuh pelbagai cabaran terutama keadaan cuaca yang tidak menentu di sebelah Pantai Timur, namun anak jati Taiping itu yakin misinya akan berjaya.

Mengulas mengenai misi mempromosi Perak, beliau akan mengedarkan risalah kepada orang ramai berkaitan tempat-tempat menarik di Perak setiap kali singgah di mana-mana perhentian.

Sementara itu, Ahmad Shalimin berkata, kerajaan negeri menyokong Hishamuddin selain menganggap ia sebagai salah satu usaha menarik minat orang luar untuk berkunjung ke Perak.

“Kerajaan negeri sentiasa menyokong beliau. Selain bertujuan mempromosi Tahun Melawat Perak, beliau juga diiktiraf sebagai duta kecil kita, dengan misi solo motosikal klasik yang saya kira pertama kali di negara kita,” katanya.


50 views0 comments
bottom of page