top of page
muinsapidin

PPN Perak Lancar Tabung Kemanusian Rohingya

IPOH: Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak melancarkan Tabung Bantuan Kemanusiaan Rohingya bagi membantu etnik Rohingya di wilayah Rakhine, Myanmar yang sedang berdepan krisis kemanusiaan.

Pengerusinya, Datuk Mohd Nadzri Ismail berkata, sebagai permulaan, PPN Perak sendiri menghulurkan RM5,000 untuk tabung itu sebagai tanda prihatin mereka terhadap golongan tersebut.

Menurut beliau, setiap unit dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di Perak akan diminta untuk melakukan kutipan di tempat masing-masing, mulai hari ini.

“Kita ada 30 PPK di seluruh negeri, kita minta mereka mula mengumpul sumbangan hari dan tidak ada tarikh tutup kerana kita akan kumpulkan walaupun sedikit, selagi mereka memerlukan bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Ahli Jemaah Pengarah (AJP) PPN Perak yang baru dengan pengerusi AJP PPK seluruh Perak di Hotel Casuarina @ Meru di sini pada Rabu.

Di dalam pemilihan AJP PPN Perak baru-baru ini, Nadzri terpilih sebagai Pengerusi yang baharu, menggantikan Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar.

Nadzri berkata, ahli-ahli pertubuhan peladang di negeri ini terpanggil untuk turut sama membantu etnik Rohingya yang sedang mengalami penderitaan dan kesusahan di Myanmar.

“Rata-rata ahli pertubuhan peladang adalah berasal daripada petani yang pernah hidup susah suatu ketika dahulu, oleh itu, mereka cukup prihatin dengan penderitaan yang dialami oleh saudara seagama mereka,” ujarnya.

Beliau memberitahu, bantuan yang terkumpul akan disalurkan kepada pihak-pihak yang mengendalikan tabung bantuan seumpama itu di negara ini.


28 views0 comments
bottom of page