top of page
  • muinsapidin

Kes Malaria Di Pos Kemar Meningkat

IPOH: Kes malaria di sekitar kawasan penempatan Orang Asli di Rancangan Penempatan Semula Pos Kemar, Gerik meningkat kepada 129, berbanding 126 kes dua minggu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Integrasi Nasional, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, daripada jumlah itu, 68 adalah pesakit lelaki manakala 61 lagi perempuan.

Menurut beliau, sebanyak 74 orang pesakit pula terdiri daripada kanak-kanak yang berumur di bawah 14 tahun.

Beliau memberitahu, 67 pesakit itu masih menerima rawatan di mana 16 daripadanya di Hospital Gerik, 27 di Asrama Sri Didik Sekolah Menengah Kebangsaan Idris Shah II di Gerik, tiga di Pos Kemar dan satu masih dalam siasatan di kampung Orang Asli tersebut.

"Sehingga hari ini (Rabu), seramai 82 pesakit telah menerima rawatan daripada pihak Jabatan Kesihatan Negeri secara sepenuhnya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tujuh pesakit dari Kampar dan Temoh yang menerima tajaan perubatan dari dana Khazanah IHH Healthcare (KIHHHF) untuk melakukan pembedahan katarak secara percuma di Pantai Hospital Ipoh (PHI) pada Rabu.

Dr Mah berkata, erdapat perkembangan positif di kalangan Orang Asli di Pos Kemar yang kini terbuka untuk menerima rawatan bagi membendung penularan malaria.

"Selepas diberikan kaunseling dan nasihat oleh pihak kami, mereka yang sebelum ini enggan untuk mendapatkan rawatan, kini akur dan menyedari pentingnya pencegahan awal daripada terkena wabak malaria tersebut," jelasnya.

Bagaimanapun, kata beliau, pihak Jabatan Kesihatan Negeri masih berusaha untuk mengenalpasti punca sebenar penularan wabak malaria di kalangan masyarakat Orang Asli itu.

Beliau berkata, pihaknya telah mengambil sampel darah daripada semua pesakit yang disahkan positif malaria dan akan menjalankan kajian terperinci mengenai kawasan penularan wabak.

Dalam pada itu, Dr Mah memberitahu, bagi tempoh Januari hingga 13 Disember tahun ini, Perak mencatatkan penurunan kes demam denggi iaitu 3,549 kes, berbanding 9,069 kes pada tempoh sama pada tahun lepas.

Beliau menambah, angka kematian akibat denggi juga telah menampakkan penurunan melebihi 60 peratus kes iaitu 10 kes pada tahun ini berbanding 24 kes pada tahun lepas.


48 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page