top of page
muinsapidin

HSR: Malaysia, Singapura meterai MoU

PUTRAJAYA - Malaysia dan Singapura menandatangani perjanjian dua hala yang memberi laluan kepada pelaksanaan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, dan akan mengurangkan masa perjalanan antara dua bandar itu kepada hanya 90 minit.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong menyaksikan pemeteraian perjanjian itu pada Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura Ketujuh di sini pada Selasa.

Perjanjian itu, susulan kepada memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai oleh kedua-dua negara pada 19 Julai, ditandatangani oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Menteri Koordinasi Pengangkutan dan Infrastruktur Singapura Khaw Boon Wan.

Perjanjian itu meliputi aspek teknikal, keselamatan dan kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ) berhubung HSR.

Najib pada sidang media bersama dengan Hsien Loong selepas pemeteraian perjanjian itu berkata Malaysia dan Singapura komited dengan tarikh akhir projek itu pada 2026.

"Melihat kepada saiz dan kerumitan projek itu, 10 tahun merupakan satu tempoh yang agak singkat, yang bermakna kita perlu bekerja keras dan memberi tumpuan untuk menangani semua cabaran yang dihadapi," katanya.

Landasan sepanjang 350km itu melibatkan lapan hentian - Bandar Malaysia, Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat, Iskandar Puteri dan Singapura.

Najib berkata, Malaysia dan Singapura berharap pelantikan Rakan Kongsi Pembangunan Bersama dan penawaran tender sistem berkenaan dapat dilaksanakan pada tahun depan.

"Pada suku keempat 2017, kami juga akan mengeluarkan tender antarabangsa bagi sistem yang akan dipilih untuk HSR," katanya.

Mengenai cabaran untuk menepati tempoh siap dan anggaran kos, Najib berkata projek HSR adalah projek yang berdaya maju dan mampu untuk mendapatkan pembiayaan jangka panjang.

"Kami tidak menjangka masalah dalam mendapatkan pembiayaan jangka panjang, malah, sesiapa yang mahu mengambil bahagian dalam projek ini boleh mengemukakan cadangan kewangan kepada kami untuk dipertimbangkan sebagai sebahagian daripada pakej," katanya.

Ditanya sama ada HSR akan diperluaskan ke wilayah utara, Najib berkata tiada perancangan untuk itu berikutan tumpuan kini untuk menyiapkan landasan kereta api Kuala Lumpur-Singapura mengikut jadual masa dan bajet.

Hsien Loong berkata HSR akan mengubah cara interaksi dan menjalankan perniagaan antara Kuala Lumpur dan Singapura dengan lebih baik.

"Ia akan memakan masa dan projek ini adalah rumit. Kita membuat komitmen jangka panjang tetapi kami mempunyai keazaman politik yang tinggi di kedua-dua pihak untuk memastikan projek itu dilaksanakan dengan betul dan jaya.

"Saya berharap untuk menaiki tren pertama dalam tempoh 10 tahun akan datang," katanya.

Mengenai persaingan bagi projek HSR, Hsien Loong berkata beliau menjangka akan terdapat bidaan yang kompetitif namun Malaysia dan Singapura akan memilih yang terbaik.

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan sempena Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura Ketujuh, jawatankuasa dua hala akan diwujudkan untuk menyelia semua aspek projek itu dan perkara lain yang dinyatakan dalam perjanjian itu. - Bernama


9 views0 comments
bottom of page