TELUK INTAN - Lima remaja berusia 15 hingga 25 tahun cedera parah dengan kaki dan tangan patah serta ada yang hampir putus selepas bertembung dalam satu kemalangan di Kilometer 23, Jalan Langkap - Chenderong Balai jam 2 pagi, semalam.
Kejadian berkenaan juga menjadi viral di laman sosial dan ada pihak mendakwa kesemua mereka terlibat dalam lumba haram sebelum bertembung sesama sendiri.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, siasatan awal mendapati hanya dua motosikal sahaja didapati terlibat dalam kemalangan di lokasi kejadian.
"Namun selepas siasatan lanjut dilakukan di Hospital Teluk Intan, pihak polis berjaya mengesan lima mangsa bersama lima buah motosikal terlibat dalam kemalangan berkenaan.
"Kemalangan berlaku apabila motosikal yang ditunggang mangsa pertama dan kedua bertembung sebelum terjatuh di atas jalan raya dan pada masa sama muncul motosikal ketiga, keempat dan kelima melanggar mereka dan terjatuh," katanya.
Ditanya sama ada benar atau tidak mereka berlumba haram sebelum berlaku pertembungan seperti yang di viralkan di laman sosial, Wan Hassan berkata, berkemungkinan mereka berlumba haram.
"Berkemungkinan mereka lumba haram tapi siasatan lanjut masih lagi dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 43(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.