Persatuan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Gerik mendesak kerajaann untuk tidak berdiam diri dan mengambil tindakan berhubung isu warga Myanmar menghina Kesultanan Melayu. Pengerusinya, Mohamad Shukri Nizam Mohd Redzuan berkata tindakan seorang warga Myanmar yang memuat naik sekeping gambar Raja-raja Melayu dikalungkan dengan selipar di akaun Facebook bernama "Zaw Min Htun" amat biadap dan tidak boleh diterima sama sekali.
"Sungguh melampau, isu kekejaman terhadap Muslim Rohingya belum pun reda tapi sekarang mereka hina pula Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja dalam negara kita. "Jangan dicabar kesabaran kami, kesabaran kami ada hadnya. Diharap kerajaan melakukan sesuatu dan jangan berdiam diri," katanya. Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis bersama beberapa ahli lain berhubung isu itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik, Gerik baru-baru ini. Ujarnya lagi, sekiranya terbukti gambar itu palsu, polis juga digesa mengambil tindakan terhadap semua pihak yang mencipta poster itu. "Gambar itu mencetuskan rasa kurang senang di kalangan rakyat Malaysia jadi kami harapkan pihak berkaitan mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat,” katanya.