PARIT: Seramai 109 penduduk Kampung Serapoh dan Kampung Simpang Tiga, di sini menggesa pihak berkenaan mengambil langkah segera membesarkan kelubung lama yang dikatakan menjadi punca berlakunya kejadian banjir kilat di kampung mereka sejak petang Sabtu.
Mereka meluahkan rasa kecewa kerana terpaksa berpindah buat kali kedua ke pusat pemindahan sementara di Kampung Simpang Tiga setelah rumah mereka dinaiki air sedalam dua meter sehingga menyebabkan banyak barangan dan kelengkapan rumah musnah.
Menurut mereka, kali pertama kejadian banjir kilat berlaku ialah Disember tahun lepas menyebabkan mereka mengalami kerugian ribuan ringgit akibat kerosakan barangan rumah seperti almari, mesin basuh dan pakaian.
Roziah Ismail, 60, berkata, tindakan segera perlu diambil pihak berkenaan untuk membesarkan kelubung sedia ada yang kini terlalu sempit sehingga tidak mampu lagi menampung aliran air yang deras setiap kali tiba musim hujan.
“Makcik dah jemu asyik berpindah setiap tahun disebabkan rumah dimasuki air dan banyak pula barang -barang berharga rosak dan musnah,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan banjir di Dean Orang Ramai Kampung Simpang Tiga, Parit pada Ahad.
Pusat pemindahan berkenaan mula dibuka pukul 8 malam Sabtu semasa berlaku kejadian banjir kilat apabila paras air mulai naik antara 2 - 3 meter. Paras air bagaimanapun surut sepenuhnya menjelang pagi.
Rahani Hashim, 44, pula berkata, dia terpaksa berpindah ke pusat pemindahan itu memandangkan keadaan rumahnya kurang sesuai untuk didiami apabila mula dipenuhi air.
“Saya bersama suami dan empat orang anak terpaksa bergegas berpindah ke pusat pemindahan apabila melihat air memasuki rumah dengan begitu cepat sehingga mencecah ke paras tiga meter.
“Saya sudah bosan terpaksa berpindah ke pusat pemindahan setiap kali berlakunya banjir kilat, semuanya gara-gara pihak berkenaan yang tidak mengambil usaha untuk membesarkan kelubong yang terdapat di kampung kami ini,” dakwanya.
Sehubungan itu, beliau berharap, pihak berkenaan mengambil serius masalah banjir kilat yang dihadapi penduduk kampung agar ia tidak terus berpanjangan sehingga menyebabkan penduduk terpaksa menanggung kerugian akibat kerosakan harta-benda.
Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Perak Tengah, Mohd Affindi Ishak berkata, banjir di kedua-dua Kampung Simpang Tiga dan Kampung Serapoh pulih seperti sedia kala kira-kira jam 11 pagi Ahad.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya masih belum lagi dapat mengisytiharkan pusat berkenaan ditutup.
“Buat masa ini ramai mangsa telah pulang ke rumah untuk melakukan kerja-kerja pembersihan,” katanya.